'Kami mahu pergi mana' - Luah etnik Rohingya diusir dari Kampung Kuala Muda

KUALA LUMPUR - "Bila dengar pengumuman (halau) itu, kami mahu pergi mana?"
Itu luahan Seyed Kassim, 55, antara etnik Rohingya diusir dari Kampung Kuala Muda, Penaga di Pulau Pinang yang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini.
Katanya, semua etnik Rohingya menghormati semua penduduk tempatan di sana.
"Hari ini (Isnin) kami sampai 3.30 pagi pun tidak minum. Pihak UNHCR pun tidak keluar. Terima kasihlah bagi kami duduk bawah sini.
"Bila di sini, susah kepada wanita untuk ke tandas, kami pun sama manusia juga. Kita tunggu UNHCR," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Sementara itu, Mahamed Jamil, 33, berkata, pihak UNHCR memaklumkan perkara ini sukar untuk diambil tindakan.
"Kami kata kami tiada rumah, UNHCR kata tak boleh buat apa. Kalau mereka tak boleh tolong, kami nak pergi mana?
"Kalau UNHCR tak boleh tolong kami, macam mana anak-anak kecil kami," ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi terbabit mendapati kawalan keselamatan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ada antara warga asing terbabit turut menyuarakan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir membantu mereka.
23 Julai lalu, media melaporkan kerajaan mengarahkan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian, untuk membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, keputusan Kabinet itu bertujuan memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih teratur bawah kawal selia kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
