Planetarium Melaka akan dibaik pulih

Muhammad Jailani Khamis
Muhammad Jailani Khamis
A
A
A

MELAKA TENGAH - Planetarium Melaka tidak akan dirobohkan namun diperbaiki terutama di bahagian utama bangunan berkenaan yang dijangka bermula Februari ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kelulusan baik pulih dan penambahbaikan projek baharu sudah diperoleh dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) bagi membangunkan ‘Galaxy World' dan dijangka siap menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, ia dalam peringkat akhir sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM200 juta hingga RM250 juta yang perlu disiapkan pada tahun ini.

“Upen sudah meluluskan pembangunan itu dan sekarang di peringkat mutakhir, malah kita akan tukarkan konsep kepada ‘Galaxy World’ dengan mengekalkan status sains sedia ada.

“Lokasi ini juga bakal berperanan sebagai ‘one stop centre’ kepada pelancong untuk mendapat informasi tempat pelancongan dan kupon sebelum mereka melawat tempat pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Gotong-royong Perdana anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Parti Amanah Sungai Petai ll yang turut dihadiri Ketua Amanah Kawasan Alor Gajah yang juga Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hassan Baharom di Kampung Sungai Petai di sini, hari ini.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab bahawa Pusat Planetarium Melaka tidak selamat digunakan selepas mengalami kerosakan dinding bangunan yang runtuh tahun lalu.

Mohd Sofi berkata, berdasarkan laporan forensik yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan bangunan yang beroperasi Oktober 2009 dengan kos pembinaan bernilai RM20 juta tidak lagi selamat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Planetarium Melaka tak selamat: Exco