Penduduk mohon jambatan dibaik pulih segera

MD Shah (dua dari kiri) melihat keretakan serius di jambatan berusia lebih 15 tahun di jeti Pangkalan Nelayan Serkam Pantai.
MD Shah (dua dari kiri) melihat keretakan serius di jambatan berusia lebih 15 tahun di jeti Pangkalan Nelayan Serkam Pantai.
A
A
A

SERKAM - Hampir 100 nelayan dihantui kebimbangan apabila jambatan yang menghubungkan penempatan mereka dengan jeti di Pangkalan Nelayan Serkam Pantai dekat sini hanya menunggu masa untuk runtuh.

Ia susulan tiang jambatan berusia 20 tahun itu mengalami keretakan serius sejak tahun lalu.

Ketua Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Serkam Pantai, Md Shah Hashim berkata, permasalahan itu didakwa telah beberapa kali dipanjangkan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini tiada maklum balas.

Menurutnya, lebih merisaukan jambatan itu turut digunakan kenderaan berat yang terlibat dengan beberapa projek pembangunan di kawasan berhampiran.

Tiang jambatan yang mengalami keretakan serius.
Tiang jambatan yang mengalami keretakan serius.

"Jambatan berkenaan hanya satu-satunya laluan yang boleh digunakan pemandu lori ke kawasan projek terbabit termasuk projek ternakan kolam udang yang menyebabkan kenderaan berat sering keluar masuk.

"Jika berterusan kemungkinan jambatan itu boleh roboh, mereka pun tak ada jalan lain nak lalu jadi harap kerajaan dapat bantu kami selesaikan isu ini," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Nelayan, Ahmad Bakhtiar Abdullah, 40, berkata, disebabkan hanya itu laluan utama dari rumahnya ke pangkalan menyebabkan dia sanggup bertarung nyawa mengharungi jambatan retak itu setiap hari.

Menurutnya, dia sering terfikir terhadap nasib dirinya jika jambatan usang itu tiba-tiba runtuh ketika sedang melaluinya lebih-lebih lagi tiga anaknya masih bersekolah.

"Banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui laluan ini, jadi kami takut jambatan ini runtuh.

"Bila runtuh jadi masalah kepada kami sekali gus semua tugas harian akan tertangguh," ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Omar Abdullah, 45, berkata, jambatan yang menjadi laluan utama itu perlu dibaik pulih segera demi keselamatan nelayan dan orang ramai yang menggunakannya.

Menurutnya, jangan berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini baharulah pihak berkaitan tergesa-gesa membaik pulih jambatan terbabit.

"Jambatan itu nak runtuh kerana tiang kecil, retak di bahagian bawah dan hanya menunggu masa sahaja.

"Jangan sampai berlaku kemalangan baharu nak buat, jadi elok baiki sebelum berlakunya kemalangan kerana lori-lori besar juga menggunakan jambatan itu," katanya.