Planetarium Melaka tak selamat: Exco

Planetarium Melaka. (Gambar kecil:Mohd Sofi Abdul Wahab)
Planetarium Melaka. (Gambar kecil:Mohd Sofi Abdul Wahab)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri dapati Pusat Planetarium Melaka tidak lagi selamat digunakan setelah mengalami kerosakan akibat keruntuhan salah satu dindingnya yang berlaku pada tahun lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, berdasarkan laporan forensik yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan bangunan yang beroperasi sejak Oktober 2009 dengan kos pembinaan bernilai RM20 juta tidak lagi selamat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada struktur bangunan mendapati selain kerosakan dinding berukuran5m x 8m itu impak insiden menyebabkan struktur dinding berdekatan turut terjejas.

"Kita sudah terima laporan forensik daripada JKR sebelum memutuskan bangunan ini tidak selamat.

"Saya dimaklumkan kakitangan yang ditempatkan di pusat itu telah pun dipindahkan susulan penutupan operasi itu sejak tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sofi berkata, selain daripada bangunan berkenaan pihak berkuasa dari semasa ke semasa juga membuat pemeriksaan di bangunan lain terutama kawasan tumpuan ramai bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.

"Setakat ini hanya satu laporan sahaja kita terima berhubung bangunan tidak selamat untuk digunakan," katanya.

November lalu, Sinar Harian November melaporkan, kerajaan negeri mengarahkan bangunan Planetarium Melaka yang terletak di bulatan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dikosongkan selepas salah sebuah dindingnya runtuh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan awal mendapati insiden itu akan mengakibatkan tiga lagi dinding yang terdapat di bahagian tingkat satu berdepan risiko sama.