X

Kindly register in order to view this article
!

'Kompaun RM1,000 had maksimum dibenarkan KKM'

Dr Noor Hisham
A
A

SHAH ALAM - Kadar kompaun RM1,000 yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali merupakan had maksimum yang dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan kadar itu ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Kompaun maksimum mengikut Akta 342 terhadap mereka yang ingkar peraturan serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah hanya RM1,000,” ciapnya menerusi Twitter.

Noor Hisham menjelaskan perkara itu sebagai maklum balas kepada warganet yang mempertikaikan jumlah yang dikenakan kepada Mohd Khairuddin dan dianggap terlalu rendah berbanding kesalahan dilakukannya.

Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan semalam memberitahu, Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

"Oleh kerana Khairuddin gagal mematuhi peraturan mengikut Akta 342, pegawai diberi kuasa telah mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas Khairuddin pada 7 Ogos dan beliau sudah membayar kompaun berkenaan," katanya.

Susulan pertikaian yang timbul, Mohd Khairuddin memaklumkan akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos atas rasa tanggungjawab selepas melanggar SOP kuarantin dan gaji berkenaan akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah KKM.

Sebelum itu, isu tersebut timbul apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Bekas Menteri Perindustrian Utama itu berkata, beliau menganggap Khairuddin telah melakukan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri dikompaun RM1,000 langgar kuarantin

Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!