'Rasuah haram, jangan cari dalil halalkan' - Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pas dan penyokongnya perlu menerima hakikat bahawa berlaku sogokan dan rasuah dalam pilihan raya sehingga kemenangan Parlimen Kuala Terengganu dibatalkan.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, disebabkan isu berkenaan imej Pas sebagai parti Islam telah tercemar.

Menurutnya, ia menunjukkan kemenangan Pas di Parlimen lain di Terengganu juga tak lari daripada unsur rasuah dan sogokan pilihan raya.

“Tetapi lebih mencemarkan lagi apabila rasuah pilihan raya yang berlaku terang-terangan di Parlimen Marang telah dijenamakan pula sebagai hadiah dan sedekah.

“Para ustaz Pas terpaksa berbelit lidah mempertahankan rasuah dengan pelbagai dalil,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Pas Terengganu akan mengambil beberapa langkah tertentu dan lebih berhati-hati dalam memastikan gerak kerja parti itu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kelak tidak bertentangan dengan sebarang undang-undang pilihan raya.

Ujar Mohd Khairuddin lagi, ada cadangan untuk menyediakan bas kepada para mahasiswa untuk pulang mengundi.

“Ada NGO yang telah menegur perkara ini kerana ia juga berupa rasuah awal pilihan raya. Jika berulang lagi kesalahan sebegitu, keputusan pilihanraya akan dibatalkan lagi nanti jika menang.

"Rasuah adalah haram. Usah mencari dalil untuk menghalalkannya,” tegasnya.