RM500,000 naik taraf Hutan Lipur Jeram Tengkek

Kok Seong (baju putih) meninjau keadaan Hutan Lipur Jeram Tengkek.
Kok Seong (baju putih) meninjau keadaan Hutan Lipur Jeram Tengkek.
A
A
A

KUALA PILAH - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf Hutan Lipur Jeram Tengkek untuk dijadikan sebagai lokasi tarikan pelancong ke Negeri Sembilan.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, peruntukkan itu melibatkan kerja naik taraf infrastruktur serta memperbaiki kerosakan laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan.

"Kerja-kerja naik taraf sudah dimulakan dan ia dijangka siap pada 21 Oktober nanti. Hutan lipur ini berpotensi untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan di bahagian timur Negeri Sembilan. Hutan lipur ini unik susulan mempunyai air terjun selain berdekatan dengan Bukit Baginda dan perkampungan Orang Asli.

"Sudah tentu kita akan mempromosikan tempat ini bagi menarik pelancong setempat dan luar untuk datang ke sini," katanya ketika melawat lokasi tersebut.

Laluan pejalan kaki di Hutan Lipur Jeram Tengkek akan dinaik taraf.
Laluan pejalan kaki di Hutan Lipur Jeram Tengkek akan dinaik taraf.

Tambah Kok Seong, berdasarkan rekod dari Januari sehingga Jun lalu, seramai 8,000 orang telah mengunjungi hutan lipur berkenaan dengan dianggarkan sekitar 1,000 hingga 2,000 pengunjung datang ke lokasi tersebut dalam tempoh sebulan.

"Kita berharap lebih ramai pelancong tempatan dan luar datang ke sini selepas Perintah Kawalan Pergerakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selain pengunjung juga dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan di kawasan ini," katanya.

Hutan lipur yang terletak di Hutan Simpan Serting itu terletak lebih kurang 30 minit dari pekan Batu Kikir.

Artikel Berkaitan: