Skandal hartanah Mara di Australia

Bangunan Dudley International House di Melbourne, Australia. Mara dilaporkan membeli hartanah itu pada harga A$22.6 juta (RM67.6 juta) iaitu A$4.75 juta (RM14.2 juta) lebih tinggi berbanding harga pasaran pada tahun 2013. Gambar kecil: Salleh Buang
Bangunan Dudley International House di Melbourne, Australia. Mara dilaporkan membeli hartanah itu pada harga A$22.6 juta (RM67.6 juta) iaitu A$4.75 juta (RM14.2 juta) lebih tinggi berbanding harga pasaran pada tahun 2013. Gambar kecil: Salleh Buang
A
A
A

Skandal melibatkan pembelian hartanah bernama Dudley International House di Melbourne, Australia berlaku lima tahun yang lalu, tetapi nampaknya tempiasnya di negara ini belum sampai ke penghujung seperti yang diharapkan.

Skandal itu terbongkar hasil penyiasatan warga kerja Fairfax Media selama lapan bulan yang akhirnya didedahkan oleh sebuah akhbar berpengaruh di Australia, The Age.

Fairfax Media telah meneliti dan memeriksa aliran wang, fail mahkamah dan dokumen syarikat di tiga benua untuk mencari jawapan kenapa dan bagaimana harga pembelian hartanah di Melbourne itu terlalu tinggi.

Akhirnya penyiasat mendapati apa yang berlaku dalam transaksi hartanah di Melbourne itu hanya sebahagian kecil daripada skim pengubahan wang haram dan kegiatan rasuah global yang dirancang oleh pemaju tempatan dengan kerjasama oleh pegawai-pegawai luar negara yang berkuasa, sehingga mampu mendapatkan habuan sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) dalam satu transaksi hartanah itu sahaja.

Dalam laporan eksklusifnya, akhbar The Age di bawah tajuk berita 'Corrupt Malaysia Money Distorts Melbourne Market' mendakwa sekumpulan pegawai Malaysia yang kaya raya telah membayar lebih A$4.75 juta harga hartanah itu pada tahun 2013.

Transaksi

Pada 25 Jun 2015, sebuah akhbar di Malaysia pula melaporkan pegawai polis Australia telah melancarkan siasatan di bawah Operation Carambola ke atas beberapa transaksi penjualan hartanah di negara itu yang melibatkan pengubahan wang haram dan sogokan. Polis Australia mengesyaki berlaku penipuan kerana hartanah dijual pada harga yang terlalu tinggi, misalnya dalam kes Dudley International House di Melbourne.

Sehari sebelumnya iaitu pada 24 Jun 2015, portal berita Malaysia, The Edge Market memetik Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar sebagai berkata bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat kes transaksi pembelian hartanah di Australia itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah bahawa Akta SPRM memberi kuasa secukupnya kepada badan itu untuk menyiasat semua pihak yang terlibat dalam skandal berkenaan walaupun ia berlaku di luar negara.

Portal berita yang sama selanjutnya memetik Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang akhbarnya sebagai berkata bahawa, pihak berkuasa terakhir yang meluluskan pembelian hartanah di Melbourne itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Baru-baru ini, pada 6 Ogos 2010, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, telah membangkitkan semula isu siasatan SPRM terhadap skandal pembelian hartanah tersebut.

Gesaan terbaharu oleh ahli Parlimen itu dibuat ekoran berita terkini daripada media Australia yang melaporkan bahawa satu prosiding jenayah telah pun dimulakan terhadap individu bernama Teen Boon Lye, juga dikenali dengan nama Dennis Teen, yang dikatakan telah memberi rasuah kepada seorang pegawai Malaysia dalam kes pembelian hartanah di negara itu.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan bahawa harga sebenar hartanah itu adalah A$17.85 juta, tetapi harga yang dibayar oleh Mara adalah A$22.6 juta. Perbezaan antara harga sebenar dan harga yang dibayar oleh Mara ini adalah sebanyak A$4.75 juta atau RM13.8 juta dan merupakan wang sogokan dengan tujuan mempengaruhi pegawai berkenaan agar membeli hartanah tersebut.

Mengikut Teresa lagi, rakyat Malaysia masih tertanya-tanya sama ada SPRM dan Jabatan Peguam Negara akan mengambil apa-apa tindakan ke atas pihak-pihak tertentu ekoran pendedahan terbaharu oleh media Australia itu.

Felda

Tambahnya, lebih empat tahun lalu iaitu pada 18 Mac 2016, Annuar Musa telah pun menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pembelian hartanah itu kepada SPRM. Pada tahun berikutnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai pembangunan luar bandar juga menyatakan siasatan SPRM hampir selesai.

Berbeza dengan penyiasatan kes pembelian hartanah oleh Mara di Australia yang masih lagi samar-samar kedudukannya, penyiasatan SPRM ke atas pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda cepat sampai ke penghujung apabila mantan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad ditangkap pada Ogos 2017. Prosiding jenayah pula dimulakan pada Disember 2018. Kita difahamkan bahawa perbezaan antara harga sebenar dan harga yang dibayar Felda untuk hotel itu berjumlah RM50 juta iaitu lebih empat kali ganda perbezaan harga hartanah di Australia berkenaan.

Dalam kes pembelian hartanah oleh Mara di Australia itu, belum ada sesiapa yang diheret ke mahkamah, manakala dalam kes pembelian hotel di Kuching oleh Felda, Isa sudah pun dipanggil membela diri pada 16 Jun lalu setelah mahkamah memutuskan ada kes prima facie terhadapnya. Andainya beliau tidak berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah, prima facie akan membawa kepada sabitan.

Jika penyiasatan kes pembelian hartanah di Kuching oleh Felda boleh berjalan lancar dan kini hampir ke penghujung, namun sebaliknya proses penyiasatan kes pembelian hartanah di Melbourne oleh Mara dilihat begitu perlahan. Rakyat pasti akan terus tertanya-tanya dan tidak mustahil akan membuat spekulasi yang tidak baik mengenainya. Situasi begini wajar kita elakkan.