Ikmal Hisham kesal isu tular surat sokongan lantik anak

Ikmal Hisyam bersama perwakilan yang menghadiri Persidangan Bersatu Tanah Merah hari ini.
Ikmal Hisyam bersama perwakilan yang menghadiri Persidangan Bersatu Tanah Merah hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz kesal dengan isu penularan salinan surat sokongan bagi melantik anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Bagaimanapun, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku itu kerana ia turut melibatkan kementeriannya.

"Sebenarnya berlaku salah faham dan saya akan menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut di Parlimen pada Isnin ini.

“Saya ambil iktibar apa yang berlaku mungkin ada salah faham dan sebagainya. Apa pun saya juga kesal dengan apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di sini hari ini.

Ikmal Hisham berkata, sebelum surat sokongan itu tular di media sosial, beliau telah memaklumkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin supaya tidak melantik anaknya dalam mana-mana ahli lembaga pengarah.

“Beberapa hari selepas itu, saya ada maklum kepada menteri (untuk) batalkan permohonan saya,” katanya.

Semalam tular salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham dikatakan meminta anaknya, Ikmal Hazlan Ikmail Hisham dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Artikel Berkaitan:

Surat berkenaan yang ditujukan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertarikh 5 Jun 2020, mengandungi nota sokongan Ismail Sabri kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

Menurut laporan media tempatan, syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarahnya berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini.

Syarikat itu kemudiannya telah melantik tiga anggota baharu seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 3 Ogos.

Mereka adalah Azhar Ahmad, Najmil Faiz Mohamed Aris dan Zulkifli Jafar.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham menyifatkan salinan surat sokongan berkenaan tular di media sosial sehari sebelum berlangsungnya persidangan Bersatu hari ini adalah secara kebetulan.

“Surat tu sebenarnya bertarikh 5 Jun lalu. Jadi ia sudah sekian lama. Lagipun Ikmal Hazlan pun tidak dilantik dalam mana-mana ahli lembaga pengarah,” katanya.

Dalam masa sama, Ikmal Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan (Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan perkara berkenaan menerusi media.

ARTIKEL BERKAITAN Surat sokongan tular: Tak berlaku salah guna kuasa, kata Ismail