X

Kindly register in order to view this article
!

‘Agong pun patuh’

A
A

“Agong pun patuh, takkan menteri tak boleh,” terdengar leteran seorang pak cik. Tangannya sibuk membelek helaian demi helaian surat khabar yang terletak di atas meja depan kedai.

Kelihatan beberapa orang lagi sedang membelek-belek akhbar. Mereka mengangguk-angguk tanda setuju agaknya. Beberapa akhbar lain yang sedia untuk dijual diselak-selak.

Kebetulan saya datang hendak membeli akhbar seperti biasa, rutin harian. Melihat beberapa orang di situ agak terganggu juga untuk saya mengambil akhbar walaupun mereka kelihatan mematuhi jarak fizikal dan memakai pelitup muka.

Kedah sekarang dalam keadaan berjaga-jaga juga. Lebih-lebih lagi beberapa kawasan yang sedang diserang jangkitan Covid-19 ini. Kawasan saya sebelum ini sejak PKPP pertama berada dalam zon hijau dengan selesa.

Selepas tercetusnya Kluster Sivagangga, muncul pula Kluster Sala, maka pecahlah rekod zon Yan yang selama ini hijau menjadi kuning. Walaupun mempunyai empat kes di Yan, perlu berjaga-jaga juga.

“Itulah, suka hati sahaja tak nak kuarantin. Orang boleh kuarantin, depa pula tak nak kuarantin. Rakyat jelata siap kena denda lagi,” kata seorang lagi pemuda yang berada di situ.

“Sivagangga siap kena saman RM1.5 juta lagi. Mampuih!” kata pemuda itu lagi yang sedang membelek akhbar Harakah.

“Tak kiralah depa tu siapa, kalau dah SOP kena kuarantin, kena kuarantinlah. Inilah makna slogan KKM ‘Kita Jaga Kita’,” kata pak cik itu lagi sambil sibuk membelek helaian surat khabar Sinar Harian. Matanya tiba-tiba menancap pula ke mata saya.

Saya hanya tersenyum sahaja, meminta lalu. “Tumpang lalu pak cik, saya nak ambil surat khabar sekejap.”

“Ada akai ka? Pi pula merata-rata. Nanti berjangkit semua orang, tak pasai-pasai kena PKPD lagi,” kata pak cik itu lagi tepat memandang ke arah saya seolah-olah mengajak berbual.

“Dengaq cerita, aku dok baca dalam internet, menteri marah pula. Marah ada orang bocoq rahsia. Depa kata menteri dok cari siapa yang bocoq rahsia dia pi Turki,” kata pemuda yang masih memegang surat khabar Harakah mungkin hendak membeli agaknya.

“Oh ya ka? Hang baca kat mana?” tanya pak cik tu lagi.

“Kat Facebook. Tapi lupa siapa yang tulih,” kata pemuda itu lagi. Pemuda di sebelahnya hanya mengangguk sambil membelek juga surat khabar. Mereka semua sibuk berborak dan membaca di situ.

Apabila ada orang datang hendak mengambil surat khabar minta lalu, depa beransur sebentar, kemudian menyambung lagi membelek dan berbual-bual isu yang sedang hangat itu.

Kemudian pemuda yang kelihatan diam sahaja sebelum ini bersuara pula, “dengar cerita menteri tak nak ulas. Dia suruh tunggu sahaja laporan atau kenyataan KKM.” Pemuda itu mungkin bukan dari Kedah. Kerana loghatnya lebih kepada orang Kuala Lumpur, agaknya.

“Dah rasa bersalah macam itulah. Takkan nak mengaku pula. Sapa nak mengaku berak di tengah jalan,” kata pak cik tersebut sambil menukilkan peribahasa Melayu lama. “Hebat juga pakcik ni,” bisik hati kecil saya.

Baca

Saya masih membelek-belek surat khabar yang biasa dibeli disebabkan surat khabar telah bertindan-tindan dengan surat khabar lain. “Betullah tu pak cik, mereka tak fikir pasal orang lain. Kena ajar mereka ni pendidikan moral juga. Seperti kata Kant tentang falsafah moral,” kata pemuda dari Kuala Lumpur itu.

Saya merasakan pemuda tersebut mungkin seorang yang suka membaca dan terpelajar juga. Mana mungkin boleh menyebut-nyebut pula nama Kant. Pantas pak cik tu bersuara, “Kant? Sapa tu?”

Pemuda KL itu tersengih-sengih pula lalu menjawab, “Oh, ahli falsafah Jerman.” Kelihatan pak cik dan seorang lagi pemuda menggaru-garu kepala. Kemudian mereka menyambung lagi perbualan dengan lebih bersemangat.

Selesai memilih empat surat khabar, saya terus ke kaunter untuk membayar. Setelah membayar, saya melihat pak cik telah bersedia untuk beredar dan duduk di atas motosikalnya manakala dua orang pemuda itu sudah tidak kelihatan

“Pak cik, dah baca surat khabar, tak nak beli ka?” jerit saya sambil menunjuk surat khabar yang terlihat sudah kerenyuk itu.

Pak cik itu hanya tersenyum-senyum sahaja sambil tergopoh-gapah menghidupkan motosikalnya.

Kelihatan tauke kedai menyusun-nyusun kembali surat khabarnya sambil mulutnya terkumat-kamit membebel agaknya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!