Kontrak hadapan dijangka pada harga semasa minggu depan

A
A

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan pada paras semasa antara RM2,025 dan RM2,120 satu tan minggu depan, kata peniaga.

Beliau berkata peniaga mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan datang.

"Ketidaktentuan berhubung konflik ini telah memberi tekanan harga kepada kebanyakan komoditi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran tempatan mungkin diniagakan tinggi susulan jangkaan permintaan lebih baik bagi bulan ini.

Semalam, penyelidik kargo, AmSpec Agri Malaysia dilaporkan sebagai berkata bahawa eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Jan meningkat 24.6 peratus kepada 1,213,277 tan daripada 973,561 tan semasa tempoh sama Disember.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Februari 2019 naik RM48 kepada RM2,190 satu tan, Mac 2019 meningkat RM75 kepada RM2,265 satu tan, April 2019 bertambah RM68 kepada RM2,294 satu tan dan Mei 2019 menokok RM64 kepada RM2, 313 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 116,431 lot daripada 173,415 lot pada Jumaat minggu lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 212,378 kontrak daripada 239,885 kontrak.

Di pasaran fizikal, Selatan Februari meningkat RM110 kepada RM2,190 satu tan daripada RM2,080 satu tan pada minggu lepas.- Bernama