Dira, Fairul, Chee Leong muka baharu Exco Melaka?

Bangunan Jabatan Ketua Menteri Melaka. (Gambar kecil: Chee Leong, Dira, dan Fairul Nizam)
Bangunan Jabatan Ketua Menteri Melaka. (Gambar kecil: Chee Leong, Dira, dan Fairul Nizam)
A
A
A

MELAKA - Jawatan Ketua Menteri Melaka yang sebelum ini menjadi teka-teki telah terjawab selepas Pengerusi UMNO Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah Ketua Menteri ke-13 pada petang Jumaat lalu.

Kini tumpuan beralih kepada calon-calon barisan Exco baharu yang dijangka mengangkat sumpah pada pagi Rabu iaitu beberapa jam sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Melaka.

Seperti mana dinyatakan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi sebelum ini, menggambarkan kerajaan perpaduan akan terbentuk di Melaka.

Ini sudah pasti salah seorang ADUN dari Pakatan Harapan (PH) akan dipilih sebagai Exco untuk bersama dan bekerjasama di bawah pentadbiran Ab Rauf.

Antara empat ADUN PH, ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong yang pernah menjawat jawatan sebagai Exco ketika Adly Zahari menjadi Ketua Menteri pada tahun 2018 disebut-sebut sebagai salah seorang yang akan dilantik sebagai Exco.

Boleh jadi pengalaman Chee Leong sebagai Exco Kesihatan dan Anti Dadah pada ketika itu dilihat lebih layak berbanding tiga wakil rakyat lain yang belum pernah dilantik sebagai Exco.

Tiga ADUN PH yang lain ialah ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen.

Sudah pasti dengan khabar angin pelantikan Exco baharu Kerajaan Perpaduan ini, akan ada lebih satu nama ADUN tidak dilantik semula sebagai Exco bagi penggal ini.

Terutamanya ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang mendakwa pelantikan Ab Rauf menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

Malah nama ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan turut dikatakan tidak akan dilantik semula sebagai Exco lebih-lebih lagi setelah beliau kalah dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Jasin yang lalu.

Dipercayai beberapa muka baharu yang menang jawatan Ketua Bahagian pada pemilihan UMNO baru-baru ini akan dilantik mengisi kekosongan jawatan Exco, termasuk jawatan Ab Rauf sebagai Exco Kanan sebelum ini dipercayai akan diisi oleh individu yang memegang jawatan kedua terpenting dalam peringkat UMNO negeri ini iaitu Datuk Seri Rais Mohd Yasin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Selain itu, Nama ADUN Asahan, Mohd Fairul Nizam Roslan dan ADUN Rim, Datuk Khadirah Abu Zahar turut disebut sebagai muka baharu yang akan membarisi barisan Exco kerajaan negeri.

Manakala Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang juga ADUN Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman tidak terkecuali akan dilantik semula sebagai Exco.

Sementara itu satu-satunya wakil rakyat daripada parti MIC iaitu ADUN Gadek, P Shanmugam, pasti akan dilantik semula termasuk wakil rakyat MCA iaitu ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem yang boleh dianggap berada dalam kondusif selamat.

Tidak ketinggalan Ketua Wanita UMNO Negeri, yang juga ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin akan kekal sebagai Exco dan mungkin juga memegang portfolionya sebelum ini.

Melihat kepada senarai calon Exco ini dapat diterjemahkan adalah mustahil untuk jawatan Timbalan Exco diwujudkan di Melaka kerana faktor lain disebabkan Melaka negeri kecil selain ia turut menuntut peruntukan tertentu yang sudah tentu akan ditafsirkan oleh pihak tertentu sebagai pembaziran.