X

Kindly register in order to view this article
!

Bertatih asal jangan rebah, pesan Annuar

ANNUAR MUSA
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) komited dalam menjayakan solidariti politik Melayu demi mencapai politik sederhana, matang dan stabil.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi menjayakan hasrat itu semua parti perlu membuang ego dan superiority complex.

"22 bulan ummah resah, kini baru sedikit lega tetapi bukan tiket menyalakan api untuk berbalah.

"Menyelamatkan negara, agama dan ummah bukan mudah. Kita baru menyusun langkah, bertatih asal jangan rebah, rapatkan saf satukan ummah bergerak ke satu arah," ciapan Annuar di Twitternya hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tampil menjelaskan pendirian parti itu terhadap pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai PN bersama Bersatu sebagai jawatankuasa penaja.

Annuar berkata, penyertaan Pas dalam pembentukan PN tidak bercanggah dengan perjanjian Piagam Muafakat Nasional (MN) mahupun memorandum persefahaman (MoU) dan keputusan tersebut adalah hak parti terbabit.

Bagaimanapun katanya, UMNO kekal pendirian tidak menjadi ahli parti baharu itu tetapi terus bekerjasama dengan parti yang menyokong perjuangan selari dengan dasar perjuangan UMNO.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada sidang akhbar di Parlimen kelmarin memaklumkan bahawa proses pendaftaran PN di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang dilakukan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!