Covid-19: Masjid, surau di tujuh daerah Kedah ditutup

Sebanyak 65 masjid dan semua surau membabitkan tujuh daerah di Kedah ditutup sementara berkuat kuasa hari ini.
Sebanyak 65 masjid dan semua surau membabitkan tujuh daerah di Kedah ditutup sementara berkuat kuasa hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 65 masjid dan semua surau membabitkan tujuh daerah di Kedah ditutup sementara berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, arahan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 Ahad lepas.

Katanya, masjid dan surau itu melibatkan daerah Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Yan, Kubang Pasu, Kulim dan Padang Terap.

"Sebanyak tiga masjid di Padang Terap ditutup iaitu di Kampung Kubang Palas, Kampung Padang Sanai dan Kampung Padang Cenderai manakala di Kota Setar, sebuah masjid dan sebuah surau di Teluk Bagan ditutup," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi Kuala Muda, sebanyak 39 masjid dan semua surau ditutup melibatkan Pengkalan Lebai Man, Kampung Raja, Sungai Lalang, Sungai Layar Hujung, Sungai Layar, Batu Dua, Penghulu Him, Taman Ria dan Taman Bandar Baru.

"Turut ditutup ialah masjid dan surau Taman Ria Jaya, Alor Jawi, Permatang Pasir, Sintok Bugis, Bukit Meriam, Permatang Tengah, Bukit Kechil Kota, Tukang Jusoh, Telok Amboi, Tikam Batu, Kampung Berapit, Pekan Gurun, Batu 3, Pekan Jeniang, Guar Stesyen, Seri Jerai dan Kampung Berjaya (Keda).

Beliau berkata, arahan penutupan turut membabitkan Batu 9, Bakar Arang, Pulau Sepom, Pokok Asam, Bandar Sungai Petani, Taman Peruda, Taman Puteri Jaya, Batu 5, Bandar Laguna Merbok, Ambangan Heights, Taman Kelisa Ria, Seri Bayu serta Bandar Perdana.

Mohd Yusri berkata, bagi daerah Kulim, penutupan melibatkan enam masjid dan semua surau di Taman Mutiara, Padang Meiha, Sungai Karangan, Merbau Pulas, Kulim Hi-Tech serta Sungai Kob.

Artikel Berkaitan:

"Enam masjid dan semua surau dalam kariah Pekan Tawar, Binjul Luar, Kuala Ketil, Kuala Merah, Kampung Pantai Chicar dan Kampung Padang Geh di daerah Baling juga ditutup,"katanya.

Katanya, tiga masjid dan semua surau di kariah Guar Chempedak, Titi Teras dan Sungai Belida dalam daerah Yan juga diarahkan menangguhkan aktiviti keagamaan.

Menurutnya, terdapat pertambahan sebuah masjid dan surau yang ditutup untuk Kubang Pasu iaitu di Kampung Kubang Pasu berbanding hanya enam kariah, seperti Hosba, Kampung Cherok Mokkan, Megat, Dewa, Binjal, Asun dan Kampung Bukit sebelum ini.

"Justeru, solat Jumaat di masjid terlibat ditangguhkan dan digantikan dengan solat Zuhur tetapi hanya melibatkan maksimum tiga jemaah, iaitu imam, pegawai masjid serta jawatankuasa kariah secara bergilir dalam satu waktu ikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Katanya, sebarang aktiviti agama tidak dibenarkan termasuk solat jenazah

Mohd Yusri berkata, bagaimanapun, laungan azan di masjid yang terlibat dibenarkan sebagai makluman kepada penduduk berkaitan waktu solat.