Liga-M bersambung 28 Ogos

Pemain Kedah giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga-M yang dijadualkan bermula pada 28 Ogos ini. -Foto: FA Kedah
Pemain Kedah giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga-M yang dijadualkan bermula pada 28 Ogos ini. -Foto: FA Kedah
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 28 Ogos ini berbanding jadual asal pada 26 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan MFL untuk mengubah kalendar baharu itu dibuat selepas pentadbir liga itu mengambil kira pelbagai faktor susulan penundaan tarikh pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menurutnya, pindaan tersebut akan turut menyaksikan setiap pasukan bertanding hanya akan bermain pada hujung minggu dan memiliki tempoh rehat lebih lama selain saingan liga turut akan berakhir pada Oktober berbanding pada September seperti yang dijadualkan sebelum ini.

“Perancangan kalendar baharu telah mengambil kira perkara –perkara seperti penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, tarikh baharu Asian Champions League (ACL) yang bermula 17 Oktober sehingga 4 November depan melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim dan penundaan kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 berdasarkan kenyataan rasmi AFF bertarikh pada 30 Julai 2020.

“Dalam masa yang sama, MFL optimis bahawa pindaan tarikh ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan yang lebih panjang dan lebih fleksibel di antara empat sehingga enam hari.

“Apa yang pasti, susulan daripada penundaan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, MFL juga memiliki tarikh-tarikh simpanan di antara 10 hingga 29 November sekiranya isu Covid-19 masih berlanjutan dalam negara kita.

“Perlawanan Liga Malaysia musim 2020 tetap dilaksanakan seperti yang dirancang untuk menentukan pemenang liga secara rasmi bagi kelayakan AFC, ACL dan AFC Cup 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kata Ab Ghani, bagi aksi perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier, UKM FC bertemu Kelantan kekal seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 22 Ogos.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tiada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Premier pada musim ini selepas LIga Bola Sepak Amatur (AFL) telah mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim ini," katanya.

Manakala, saingan Piala Malaysia akan membuka tirai bermula pusingan 16 pasukan pada 16 sehingga 18 Oktober disusuli aksi suku akhir (24 dan 25 Oktober), separuh akhir (30 dan 31 Oktober 2020) dan perlawanan akhir pada 7 November.

Beliau turut memberitahu, venue Kuching FA dan Sarawak United FC akan diumumkan dalam tempoh terdekat ekoran penularan wabak Covid-19 yang masih aktif di negeri itu.