Koop Sahabat sasar 42 Cawangan Sahabat Ar-Rahnu 2024

Amran menandatangani plak perasmian Cawangan Sahabat Ar-Rahnu ke-17 sambil diperhatikan Hartati (kiri) di Port Dickson hari ini.
Amran menandatangani plak perasmian Cawangan Sahabat Ar-Rahnu ke-17 sambil diperhatikan Hartati (kiri) di Port Dickson hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Berhad (Koop Sahabat) menyasarkan untuk mempunyai sebanyak 42 buah cawangan Sahabat Ar-Rahnu menjelang tahun 2024.

Bendahari Koop Sahabat, Hartati Abdul Jalil berkata, koperasi berkenaan kini mempunyai sebanyak 17 cawangan di semenanjung dan dijangka dibuka di Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.

"Dua buah cawangan baharu iaitu di Bachok, Kelantan dan Ayer Keroh, Melaka dijangka akan mula beroperasi masing-masing pada September dan Oktober depan.

"Di Negeri Sembilan, kita buka cawangan yang pertama di Port Dickson," katanya ketika berucap pada perasmian cawangan Sahabat Ar-Rahnu ke-17 di sini hari ini.

Menurutnya, pembukaan cawangan baharu itu sangat bertepatan dengan faktor perkembangan harga emas semasa yang sedang meningkat selain permintaan tinggi terhadap pajak gadai patuh syariah.

Beliau berkata, Sahabat Ar-Rahnu telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut iaitu pada Mei hingga Julai dengan memperoleh pendapatan upah simpan sebanyak RM1 juta dalam tempoh berkenaan.

"Selain itu, bermula Januari hingga Julai tahun ini, jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan oleh Sahabat Ar-Rahnu adalah sebanyak RM77 juta.

"Ini membuktikan Sahabat Ar-Rahnu melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hartati berkata, Koop Sahabat juga akan memastikan perkhidmatan Ar-Rahnu yang ditawarkan adalah selaras dengan kehendak hukum syarak perniagaan pajak gadai Islam.

"Bagi mencapai hasrat itu, Koop Sahabat kini dalam proses menukar konsep akad Ar-Rahnu kepada akad Tawarruq, " katanya.

Perasmian cawangan itu disempurnakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia(SKM) Wilayah Persekutuan, Amran Ab Kadir.

Koop Sahabat ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 dengan penglibatan dalam sektor pelaburan, kewangan, hartanah, peruncitan, perladangan dan pembalakan.

Ketika ini, koperasi berkenaan mempunyai keanggotaan 223,000 ahli dengan modal syer mencecah RM49.98 juta.