Suami didakwa bunuh dan kerat mayat isteri di Mesir

Lokasi seorang isteri yang dibunuh oleh suaminya berlaku di bandar Giza, Mesir. - Foto AFP
Lokasi seorang isteri yang dibunuh oleh suaminya berlaku di bandar Giza, Mesir. - Foto AFP
A
A
A

ABU DHABI - Si suami yang melakukan pembunuhan kejam sehingga mengerat-gerat tubuh badan isteri sendiri walau dengan apa pun alasan perlu mendapat hukuman setimpal akibat perbuatan zalimnya.

Situasi seumpama itulah yang terjadi kepada seorang lelaki yang disyaki mengelar leher isteri sendiri sebelum memotong tubuh badannya dan disimpan di dalam sebuah peti sejuk di unit apartmennya di Giza, Mesir.

Menurut portal berita Gulf News pada 17 Ogos lalu, si suami melakukan perbuatan tersebut selepas wanita itu memfailkan perceraian dengannya, lapor media tempatan.

Polis pada mulanya mendapat maklumat bahawa sebahagian mayat wanita tersebut ditemui di dalam peti sejuk itu.

Pasukan keselamatan kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian dan menemui mayat isteri lelaki itu yang sudah dipotong-potong dan dimuatkan dalam beberapa buah beg serta diletakkan di dalam peti sejuk tersebut, kata polis.

Beberapa detektif kemudian melakukan siasatan dengan mendapatkan maklumat kejadian pembunuhan itu daripada saksi-saksi dan jiran-jiran si mangsa.

Polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyiasat kejadian tersebut.

Ketika pasukan penyiasat bertanya kepada anggota-anggota keluarga isteri, mereka mendakwa si suami menjadi dalang pembunuhan itu berikutan perbalahan yang berlaku antara mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut cerita mereka, seorang anggota keluarga mereka mengesan bau yang busuk dari apartmen wanita itu.

Ia menyebabkan anggota-anggota keluarga berkenaan memecahkan unit apartmen tersebut dan mendapati bau itu datang dari bahagian dapur sebelum mereka menemui tubuh badan wanita berkenaan yang sudah dipotong-potong berada di dalam peti sejuk.

Sebelum ini, beberapa pergaduhan berlaku antara si mangsa dengan suaminya yang menyebabkan wanita tersebut memfailkan perceraian.

Menurut siasatan pihak berkuasa pula, jiran-jiran si mangsa mendengar satu perbalahan berlaku dan sejam kemudian, si suami meninggalkan unit apartment tersebut dan tidak pulang semula ke kediamannya itu.

Pakar-pakar forensik turut mengambil cap jari dan sampel darah di lokasi kejadian manakala si suami kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa dan kesnya diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.