Kerajaan Terengganu nafi mansuh syarat penting lantik ahli majlis

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

CHUKAI - Kerajaan Terengganu menafikan pihaknya memansuhkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat lantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini seperti mana yang tular di laman sosial.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, laporan tersebut tidak tepat kerana syarat tersebut masih terpakai bagi pelantikan ahli majlis PBT seperti ditetapkan sebelum ini tetapi hanya diberi pengecualian kepada beberapa individu atas beberapa sebab tertentu.

"Dalam keadaan tertentu kita kena faham demografi negeri-negeri di Malaysia ini tidak sama dengan mengambil kira tempat tertentu yang memerlukan kepimpinan dan dalam masa sama perlu kelayakan.

"Kadangkala ada individu tertentu yang ada kepimpinan tetapi tidak ada SPM, jadi kes-kes seperti ini kita pertimbangkan. Bukan kita gugurkan syarat itu terus cuma kita tengok 'kes demi kes'. Yang kita luluskan (tanpa SPM) itu pun dalam tiga hingga empat orang sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Cengal 2, di Kemasek semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menafikan pihaknya memberi kelulusan kenaikan tuntutan perjalanan dan penginapan Ahli Majlis setaraf dengan jawatan Pengurusan dan Profesional Gred 54. - Bernama

Artikel Berkaitan: