Empat beradik istiqamah solat Subuh berjemaah 40 hari di masjid

Abdul Halim Siddiq bersama empat anaknya yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal, Kemaman.
Abdul Halim Siddiq bersama empat anaknya yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN – Empat adik-beradik mencuri perhatian apabila berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal, di sini.

Bapa kepada empat kanak-kanak berkenaan, Abdul Halim Siddiq Mohamad Kamal, 42, berkata, kesemua anaknya antara 15 kanak-kanak yang berjaya melengkapkan cabaran sehingga ke hari terakhir program tersebut.

Menurutnya, empat orang anaknya iaitu Muhammad Irfan Haziq,15; Hana Humaira, 2; Muadz,10 dan Huda Humaira, 8, berjaya istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari.

"Pada peringkat permulaan memang agak mencabar sebab susah nak kejutkan anak-anak bangun awal untuk solat.

"Tapi lepas beberapa hari, dah jadi satu rutin dan kebiasaan buat mereka semua," katanya yang merupakan pensyarah dan pengerusi masjid.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Peserta King of Subuh Warrior di Masjid Bukit Anak Dara Kijal, di sini yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris baru-baru ini.

Menurut Abdul Halim, beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Terima kasih kepada ADUN Kijal, Datuk Razali kerana menganjurkan program begini yang memberi kesan sangat positif kepada anak-anak dan ahli keluarga.

"Program begini amat berkesan dalam mendidik anak-anak mencintai masjid dan secara tidak langsung dapat membentuk disiplin diri sejak kecil," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Shahrul bersama anaknya yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah secara konsisten di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal, Kemaman.
Khairul Shahrul bersama anaknya yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah secara konsisten di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal, Kemaman.

Seorang lagi penjaga, Khairul Shahrul Abdul Razak, 44, melahirkan rasa syukur apabila dua anaknya, Aisy Zara, 7 dan Ainis Kamalia,10, berjaya menyempurnakan solat Subuh berjemaah selama 40 hari di masjid.

Menurutnya, didikan agama yang diterapkan sejak awal banyak membantu membentuk disiplin anak-anak.

"Untuk anak-anak ini memang didikan agama begini perlu diterapkan sejak mereka masih kecil supaya menjadi amalan apabila besar.

"Saya harap pertandingan ini sebagai ruang untuk mereka lebih istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah setiap hari," katanya.

Sementara itu, pemenang 40 hari King of Subuh Warrior, Muhammad Amir Fakri Mohamad Asrul Nizam,12, dari Sekolah Kebangsaan Bukit Anak Dara berkata, beliau berasa gembira dapat menyertai program tersebut.

Katanya, setiap hari dia akan pastikan tidur awal sekitar jam 11 malam supaya dapat bangun untuk menunaikan solat Subuh keesokan harinya.

"Sepanjang program ini, saya rasa lebih sihat dan aktif kerana bangun awal serta dapat pergi ke sekolah lebih awal berbanding sebelum ini," kongsinya.

Kesemua 15 pemenang cabaran King of Subuh Warrior merakam gambar bersama keluarga dan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.
Kesemua 15 pemenang cabaran King of Subuh Warrior merakam gambar bersama keluarga dan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.

Ringkasan AI

  • Empat adik-beradik berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari di Masjid Bukit Anak Dara, Kampung Kijal
  • Abdul Halim Siddiq Mohamad Kamal berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang
  • Pada permulaan, mencabar untuk kejutkan anak-anak bangun awal tetapi kemudian menjadi rutin
  • Program diadakan dengan sokongan Datuk Razali Idris, ADUN Kijal, memberi kesan positif pada anak-anak dan ahli keluarga
  • Didikan agama sejak kecil membantu membentuk disiplin dan keistiqamahan dalam solat Subuh berjemaah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!