Johor eksport RM500 juta bahan makanan ke Singapura

JOHOR BAHRU - Johor mengeksport bahan-bahan makanan ke Singapura dengan nilai antara RM400 hingga RM500 juta pada setiap bulan.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bahan-bahan makanan dieksport ke republik tersebut semuanya mempunyai kualiti yang tinggi sekali gus menepati standard dan piawaian antarabangsa.
"Eksport ini adalah satu perkara yang kita harus lihat dengan serius iaitu perlu adanya kesedaran di semua peringkat pengusaha (untuk meningkatkan hasil) termasuk dasar kerajaan yang (menyokong) industri berkaitan makanan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Padanan Perniagaan di Antara Koperasi-koperasi, Venture Capital, GLC dan Bank-bank Tempatan di Malaysia Dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Hotel Thistle di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad serta Ketua Bahagian Penternakan Mapan dan Digital KPAM, Datin Rusila Hashim.