Banjir: Bomba pindahkan 16 penghuni rumah orang tua

Anggota bomba memindahkan 16 warga emas yang terperangkap akibat banjir kilat di sebuah rumah orang tua di Jalan Haji Manan, Kluang, petang Selasa.
Anggota bomba memindahkan 16 warga emas yang terperangkap akibat banjir kilat di sebuah rumah orang tua di Jalan Haji Manan, Kluang, petang Selasa.
A
A
A

KLUANG – Seramai 16 warga emas berdepan detik cemas apabila rumah orang tua yang didiami mereka di Jalan Haji Manan, di sini dilanda banjir kilat pada petang Selasa.

Kesemua penghuni terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita berusia antara 65 hingga 85 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba dalam operasi kira-kira 20 minit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan I Saiful Fadly A Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang.

Menurutnya, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku banjir kilat dengan ketinggian air kira-kira dua kaki di kawasan rumah orang tua berkenaan akibat hujan lebat.

“PKO kemudian bertindak menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan kesemua 16 penghuni terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua warga emas itu kemudian dipindahkan ke sebuah homestay di Jalan 17, Yap Tau Sah bagi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, pihak bomba turut melakukan pemantauan banjir di sekitar kawasan berkenaan sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.31 petang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!