Laporan polis, aduan MCMC susulan dakwaan fitnah projek pembangunan Johor

JOHOR BAHRU - Laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat susulan tindakan sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang didakwa menyebarkan dakwaan serta fitnah berkaitan projek pembangunan dan kemudahan awam di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu menimbulkan keraguan apabila kebanyakan hantaran menggunakan ayat dan naratif hampir sama, termasuk mendakwa wujud projek bernilai ratusan juta ringgit serta menyebut nama syarikat yang meragukan.
Jelas beliau, sebahagian besar akaun terbabit juga tidak mempunyai pengikut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan kewujudan dan aktiviti akaun berkenaan.
“Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor, malah setiap aduan akan disemak serta diambil tindakan sewajarnya.
"Namun, jika ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Isnin
Beliau memberitahu, laporan polis dan aduan kepada MCMC dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan termasuk mengenal pasti kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujud aktiviti secara berkoordinasi.
Dalam masa sama, beliau berharap budaya politik matang dan bertanggungjawab terus diamalkan khususnya ketika musim pilihan raya.
Katanya, perbezaan pandangan, kritikan dan ketidaksetujuan adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat.
Beliau turut menasihatkan Bangsa Johor supaya sentiasa berhati-hati serta menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

