X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

25 NGO minta Sultan Selangor bantu selesai isu peniaga warga asing

Wakil daripada 25 badan bukan kerajaan(NGO) di Selangor memohon agar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan berkaitan isu melibatkan peniaga warga asing dan sikap warga asing yang disifatkan keterlaluan dan tidak menghormati undang-undang dan peraturan di negeri ini.
A
A

SHAH ALAM - Lebih 25 badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor memohon supaya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan dalam isu peniaga warga asing di negeri ini.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris mendakwa, ini kerana tindakan peniaga warga asing di negeri tersebut yang nampaknya seperti kebal undang-undang telah memberikan kesan kepada peniaga tempatan.

"Kami sebagai peniaga dan usahawan di negeri ini terkesan kerana kerenah birokrasi pihak penguat kuasa yang tidak tegas apabila membiarkan warga asing menyalahgunakan permit yang mana sepatutnya bekerja tetapi berniaga.

"Peniaga warga asing di negeri ini seolah-olah kebal daripada undang-undang dan lebih malang kegiatan mereka ini menggugat hak kami sebagai rakyat Selangor," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh 25 NGO kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disampaikan kepada Pegawai Pengiring Tentera Sultan Selangor, Kapten Ahmad Ramli Kardi di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, baru-baru ini terdapat pendedahan mengenai warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan.

"Mereka memperdaya wanita warga tempatan untuk berkahwin dan menggunakan nama isteri mereka bagi mendapatkan lesen perniagaan serta memudahkan mereka boleh berniaga di Selangor. Mereka juga dengan sombong mengatakan mereka membayar penguat kuasa dan sebab itu mereka kebal dari undang-undang," katanya lagi.

Justeru, pihaknya memohon dengan penuh harapan jika baginda dapat campur tangan dalam membantu menyelesaikan permasalahan berkaitan isu peniaga warga asing di Selangor.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Alif Bata Srikandi Masyhur (Srikandi) dan beberapa lagi NGO di negeri berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!