Keputusan kes pembubaran DUN Sabah 21 Ogos ini

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Foto: Bernama
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 21 Ogos sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai boleh diadili.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar penjelasan lebih empat jam menerusi hujahan peguam mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), para pemohon serta Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan tiga yang lain selaku responden.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam Tengku Fuad Ahmad untuk menyerahkan jawapan bertulis sebagai jawapan kepada hujahan lisan oleh peguam mewakili para responden.

Mahkamah itu mendengar perkara berkaitan ‘boleh diadili' (tertakluk boleh dibicarakan di mahkamah) berikutan terdapat permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN yang dikemukakan Musa dan 32 ADUN yang menyokongnya.

Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan Kerajaan Sabah sebagai responden keempat.

Tengku Fuad ketika membuat permohonan untuk menyerahkan jawapan bertulis, menegaskan bahawa peguam mewakili para responden telah memfailkan hujahan bertulis mereka hanya pada tengah hari 14 Ogos dan bukannya pada 10 Ogos seperti ditetapkan mahkamah.

Katanya, beliau perlu menjawab hujahan dikemukakan seorang daripada peguam mewakili responden, Chung Jiun Dau yang tidak memenuhi arahan Shim untuk menjelaskan dari segi ‘boleh diadili' akan tindakan Tun Juhar membubarkan DUN.

"Kami (peguam mewakili kumpulan pemohon) terkejut apabila peguam mewakili responden berhujah bahawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk mempersoalkan kuasa responden pertama (Tun Juhar) dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hujahannya, Tengku Fuad berkata, permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu dikemukakan selepas surat dihantar Mohd Shafie kepada Juhar yang memohon pembubaran DUN disiarkan di platform media sosial Twitter.

Katanya, para pemohon hanya melihat Mohd Shafie 'melambaikan surat itu' pada sidang media bagi mengumumkan pembubaran DUN pada 30 Julai, tetapi tidak pernah menerima salinan surat itu.

Beliau berkata, persoalannya adalah sama ada surat itu berupaya memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN.

"Asas digunakan responden kedua (Mohd Shafie) yang dikatakan memohon responden pertama (Tun Juhar), menerusi permohonan bertulis (surat), bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah terbatas dalam Perlembagaan Sabah. Dalam kes ini, asas bagi permohonan bertulis itu dikatakan selaras Perkara 10(1)(2)(b) Perlembagaan Sabah.

"Perkara 10(1)(2)(b) yang dikatakan itu tidak wujud dalam Perlembagaan Sabah. Sehubungan itu permohonan bertulis itu pada asasnya adalah cacat dan pergantungan tidak boleh diletakkan padanya oleh responden pertama atau mana-mana orang lain," katanya. - Bernama