Asisten Superintendan didakwa terima rasuah RM10,500

Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah.
Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,500 dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Nazli Mohamed, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Tertuduh yang bertugas di Jabatan Cawangan Khas Bahagian Antikeganasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu didakwa menerima rasuah bagi mempercepatkan urusan membawa pulang tahanan yang berada di Syria.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Asisten Superintenden berdepan lima pertuduhan yang dilakukan antara Mei hingga Disember 2018 di daerah Besut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 September depan.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel Berkaitan: