Protes prodemokrasi besar-besaran di Bangkok

Ribuan penunjuk perasaan itu berhimpun di Monumen Demokrasi di Bangkok hari ini. - Foto Agensi
Ribuan penunjuk perasaan itu berhimpun di Monumen Demokrasi di Bangkok hari ini. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi kembali membanjiri laluan utama di sekitar ibu negara Thailand hari ini bagi menuntut pengunduran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dan pindaan Perlembagaan yang digubal junta tentera pada 2017.

Segelintir bekas peserta protes Baju Merah turut menyertai demonstrasi antikerajaan tersebut untuk menunjukkan sokongan terhadap tuntutan perubahan politik di Bangkok dianjurkan kumpulan pelajar dalam siri tunjuk perasaan bermula bulan lalu yang merupakan demonstrasi terbesar sejak rampasan kuasa pada 2014.

“Kami di sini terdiri pelbagai kumpulan dan pelbagai peringkat umur,” kata pelajar pasca siswazah yang dikenali sebagai Kukkik.

Perhimpunan itu turut dikawal kira-kira 600 anggota polis bagi mengelakkan sebarang insiden pertempuran berikutan kumpulan Baju Kuning yang menyokong keluarga diraja juga berkumpul di lokasi terbabit.

“Saya tidak peduli jika mereka mengadakan protes terhadap kerajaan, namun mereka tidak boleh sentuh keluarga diraja. Kami akan ambil tindakan undang-undang jika perkara tersebut berlaku,” tegas pemimpin kumpulan setiaraja itu, Sumet Trakulwoonnoo.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan kira-kira 10,000 peserta menyertai demonstrasi mega tersebut.

Biro Polis Metropolitan Bangkok dalam satu kenyataan memberitahu pasukan keselamatan terpaksa menutup laluan utama di ibu negara selepas jumlah penunjuk perasaan semakin meningkat menjelang jam 6 petang (waktu tempatan).

Minggu lalu, demonstrasi dihadiri kira-kira 4,000 penunjuk perasaan menggesa penghapusan undang-undang melindungi keluarga diraja yang merupakan protes tidak pernah berlaku sebelum ini. - AFP

Artikel Berkaitan: