Doktor lari 34km untuk buktikan pelitup muka selamat

Dr Tom Lawton.
Dr Tom Lawton.
A
A
A

LONDON - Seorang doktor di United Kingdom (UK) sanggup berlari sejauh 34 kilometer sambil memakai pelitup muka untuk membuktikan ia selamat dan tidak menjejaskan tahap oksigen.

Dr Tom Lawton dari Bradford Royal Infirmary di Yorkshire, England mendapat idea itu selepas beliau sering membaca pelbagai rungutan tentang pemakaian pelitup muka tersebut yang sudah menjadi kewajipan di kebanyakan negara bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

"Salah satu tweet tersebut menarik perhatian saya. Dia mendakwa pelitup muka berbahaya dan menggesa orang ramai supaya tidak memakainya. Oleh itu, saya perlu lakukan sesuatu untuk menolak dakwaan itu," ujarnya.

Doktor yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) itu turut memantau paras oksigen menggunakan pulse oximeter yang mengukur tahap ketepuan oksigen dalam sel darah merah individu.

Menurutnya, paras oksigen dalam tubuhnya tidak pernah menurun di bawah 98 peratus walaupun paras melebihi 95 peratus dianggap sebagai normal.

Menerusi aktiviti larian itu, Lawton turut mengumpulkan dana di laman GoFundMe untuk bank makanan tempatan.

"Jika saya boleh berlari dengan memakai pelitup muka, anda juga boleh memakainya di tempat umum seperti kedai. Pemakaian pelitup muka dapat membantu untuk membendung penularan Covid-19. Saya harap orang ramai memahami pelitup muka tidak berbahaya," jelasnya lagi.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia telah menggesa pemakaian pelitup muka di tempat awam untuk mencegah wabak itu daripada terus menular secara meluas. - Agensi

Artikel Berkaitan: