Selidik betul-betul individu berminat jadi pemilik pasukan Liga-M

Windsor Paul
Windsor Paul
A
A
A

PERSATUAN bola sepak (FA) negeri diminta menyelidik terlebih dulu latar belakang individu atau pihak yang berminat menjadi pemilik pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bagi mengelakkan timbul masalah pada masa depan.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pihak pengurusan FA negeri juga perlu memastikan pihak yang berminat melabur mematuhi undang-undang di negara ini serta memenuhi kriteria ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Perkara ini sebenarnya penting bagi mengelakkan daripada timbul sebarang masalah tidak diingini yang akan menjejaskan operasi pasukan atau kelab pada masa depan khususnya akibat daripada pelaburan pihak atau individu berkenaan.

“Berhubung soal pelaburan yang dibuat kepada pasukan atau kelab di negara ini, ia tidak menjadi masalah sekiranya pelaburan itu menepati kesemua kriteria ditetapkan.

“Sebagai contoh, jika kita hendak membeli sebuah syarikat atau sebuah rumah, sudah tentu ada prosedur-prosedur serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum pembelian dapat dilakukan.

“Namun, saya berpendapat istilah membeli yang digunakan banyak pihak ketika ini sebenarnya tidak begitu sesuai digunakan. Ini kerana ia lebih kepada istilah pelaburan dan pelaburan itu juga tertakluk kepada undang-undang di sesebuah negara,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Menurut Windsor, semakan latar belakang individu yang berminat menjadi pemilik pasukan Liga-M turut harus diberikan keutamaan agar tidak terpesong daripada hala tuju sebenar.

“Dalam bahasa Inggeris, ia disebut due-delligence atau pemeriksaan yang dilakukan mengenai latar belakang pihak yang mahu melakukan pelaburan itu. Perlu kenal pasti, siapa orang ini? Apa niat dia untuk melabur? Kena berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

“Sepatutnya, hanya mereka yang benar-benar berminat untuk membangunkan bola sepak Malaysia sahaja yang sepatutnya dibenarkan untuk melabur dalam sesebuah pasukan atau kelab dan perkara ini sangat penting,” tegasnya.