X

Kindly register in order to view this article
!

Saifuddin sudah terima surat tuntutan RM10 juta

Saifuddin (dua dari kiri) melihat pameran ketika hadir pada perasmian pejabat SKMM Pahang di Kuantan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menuntut pampasan RM10 juta daripada beliau.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, surat itu diterimanya pada minggu lepas dan beliau difahamkan 'teman-teman lain beliau' juga telah menerima surat masing-masing.

"Saya telah mendapat letter of demand (surat tuntutan) tentang RM10 juta daripada parti saya yang lama dan saya ada peguam yang kebetulan pegawai tugas-tugas khas saya iaitu Abdul Razak Ahmad.

"Kami yang mendapat surat ini juga sudah berbincang apa tindakan selanjutnya yang harus dilakukan... jadi kita tunggu pengumuman yang selanjutnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek; Pengarah SKMM Pahang, Zahari Ismail; Pengarah Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustafa dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang, Datuk Zulfikri Hashim.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang keluar parti supaya membayar pampasan RM10 juta masing-masing kepada parti.

Chean Chung turut dilaporkan berkata, mereka yang disenaraikan perlu membayarnya dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal, parti akan mengarahkan peguam untuk meneruskan prosiding bersesuaian bagi mendapatkan pampasan itu.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!