Mampukah Harris bantu Biden?

Kamala Harris
Kamala Harris
A
A
A

PADA 11 Ogos 2020, Joe Biden calon Parti Demokrat bagi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan Senator dari California, Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk jawatan Naib Presiden bagi pilihan raya yang akan diadakan pada November nanti. Siapakah Kamala Harris? Dan Sejauh mana beliau mampu meraih sokongan bagi Parti Demokrat?

Kamala Devi Harris dilahirkan pada 20 Oktober 1964, di Oakland, California. Ibunya, Shyamala Gopalan, adalah seorang saintis barah payudara yang telah berhijrah dari Tamil Nadu, India pada1960 untuk melanjutkan pengajian kedoktoran dalam bidang endokrinologi di UC Berkeley. Ayahnya, Donald J. Harris adalah seorang Profesor Emeritus Universiti Stanford dalam bidang ekonomi, yang berhijrah dari British Jamaica pada 1961 untuk pengajian siswazah dalam bidang ekonomi di UC Berkeley.

Kamala Harris adalah lulusan undang-undang daripada University Howard dan University of California, Hastings College of the Law. Beliau telah memulakan kerjayanya di Pejabat Peguam Daerah Alameda County sebagai peguam sebelum direkrut ke Pejabat Peguam Daerah San Francisco dan kemudian pejabat Peguam Negara San Francisco. Kamala Harris telah memperoleh kejayaan pada usia yang muda. Pada 2003, ketika Kamala Harris hanya berusia 39 tahun beliau telah terpilih sebagai peguam bagi daerah San Francisco. Kemudian Kamala Harris telah dilantik sebagai Peguam Negeri California pada 2010 dan 2014.

Kerjaya politik Kamala Harris bermula apabila beliau memenangi Pilihanraya Senat 2016 untuk menjadi senator wanita ketiga California serta wanita Afrika-Amerika kedua, dan Amerika Asia Selatan pertama, yang berkhidmat di Senat AS. Sebagai Senator, Kamala Harris memperjuangkan reformasi penjagaan kesihatan, membantu dalam isu kewarganegaraan untuk pendatang tanpa dokumen dan reformasi cukai progresif. Kamala Harris merupakan calon Naib Presiden Afrika-Amerika pertama.

Kelebihan

Terdapat beberapa kelebihan yang ada pada Kamala Harris yang mampu memperkukuhkan peluang Jeo Biden untuk memenangi Pilihanraya Presiden. Pertama, dalam suasana kemarahan dan tunjuk perasaan akibat kematian George Floyd, pencalonan Kamala Harris sebagai Naib Presiden AS boleh ditaksir sebagai strategi Parti Demokrat untuk meraih sokongan orang ramai. Ini kerana latar belakang dan identiti Kamala Harris sebagai seorang peguam yang berketurunan Afrika-Amerika dan Amerika Asia Selatan mampu menarik sokongan masyarakat Afrika-Amerika, Amerika-Asia serta Hispanik.

Kedua, Kamala Harris merupakan wanita ketiga sebagai calon Naib Presiden setelah Geraldine Ferraro pada 1984 dan Sarah Palin pada 2008. Sudah tiba masa AS mempunyai seorang wanita sebagai Naib Presiden dan kemudian Presiden.

Ketiga, dalam suasana pandemik Covid-19 ramai penduduk AS tidak puas hati dengan respons pentadbiran Donald Trump. Mereka menyalahkan pentadbiran Trump lewat bertindak sehingga penularan virus Covid-19 telah meragut banyak nyawa dan penduduk AS kehilangan pekerjaan. Kamala Harris telah menggunakan kemahiran beliau sebagai seorang peguam untuk mempersoalkan dasar pentadbiran Donald Trump dengan lantang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun usaha untuk mencalonkan Kamala Harris sebagai Naib Presiden AS bagi Parti Demokrat tidak bebas daripada cabaran. Antara cabaran utama adalah kritikan daripada kumpulan konservatif khasnya mereka yang mendukung konsep white supremacy. Mereka mendakwa Parti Demokrat telah mengkhianati kepentingan masyarakat kulit putih.

Kamala Harris mempunyai kekuatan dan kelebihannya yang tersendiri berbanding dengan calon Naib Presiden Parti Republikan, Mike Pence. Sudah pasti semua tertarik untuk menyaksikan debat antara Kamala Harris dengan Mike Pence untuk membuktikan kewibawaan masing-masing.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya