X

Kindly register in order to view this article
!

Jaga kemuliaan, gelaran darjah kebesaran: Tengku Hassanal

GAMBAR UTAMA - Tengku Hassanal berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar hari ini. - Foto Bernama
A
A

PEKAN - Pemangku Raja, Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan semua penerima darjah kebesaran negeri Pahang agar menjaga kemuliaan dan gelaran yang diberikan kepada mereka.

Tengku Hassanal bertitah peringatan itu juga terpakai kepada bakal penerima darjah kebesaran tersebut yang mana baginda menegaskan bahawa 'setiap kurniaan di bumi ALLAH datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.'

"Jangan sesekali bersikap riak dan angkuh, sebaliknya ambil resmi padi yang semakin berisi semakin menunduk. Berilah sumbangan sebaiknya kepada negeri dan rakyat beta," titah baginda semasa menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-61 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Tengku Hassanal berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah. -Foto Bernama
Tengku Hassanal berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah. -Foto Bernama

Pada istiadat itu, Tengku Hassanal berkenan menyempurnakan pengurniaan darjah kebesaran kepada 56 penerima termasuk lapan kekanda dan adinda baginda yang masing-masing menerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Tengku Hassanal pada titah itu juga menitipkan doa supaya Allah SWT terus mencorak, membentuk, mendidik dan mengurniakan perkara yang baik kepada ayahanda baginda yang kini bersemayam di Istana Negara selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Tengku Ampuan Pahang.

Merujuk kepada nama pilihan Seri Paduka, Tengku Hassanal berkata, nama yang bermaksud “Sultan sebagai hamba ALLAH, pembela agama yang terpilih oleh ALLAH” adalah hasrat Seri Paduka supaya sentiasa menjadi doa dan mendapat limpah perkenan ALLAH dalam menjalankan amanah yang diberikan.

"Keterikatan baginda (Seri Paduka) kepada ALLAH mewajibkan baginda untuk bersikap adil kepada semua bangsa, agama atau taraf hidup, menjaga keamanan negara dan menegakkan kebaikan.

"Titah nasihat baginda serta contoh teladan yang dipamerkan tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen dalam hati baginda kepada rakyat, bukan hanya di peringkat negeri bahkan ke seluruh negara yang secara tidak langsung, menjadi contoh yang baik dan menaikkan nama negara di mata dunia," titah Tengku Hassanal.

Tengku Hassanal juga mengingatkan rakyat agar mengekalkan perpaduan, mempertahankan nilai murni, sentiasa menjaga batas dan adab walaupun semasa berdepan cabaran supaya amanah yang digalas dilaksanakan mengikut ilmu dan bukannnya emosi.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Tengku Panglima Raja Lt Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah. - Foto Bernama
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Tengku Panglima Raja Lt Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah. - Foto Bernama

Tanpa sikap yang baik seperti itu, Tengku Hassanal bertitah boleh menyebabkan kuasa dan amanah yang diberikan tersasar daripada jalan yang benar sehingga boleh mengakibatkan hilang integriti, rasuah berleluasa, pecah amanah dan perpecahan serta pergaduhan.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada persembahan ucapan sembah taat setia menjunjung kasih kepada Tengku Hassanal kerana melanjutkan perkhidmatan beliau bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berakhir pada 14 Mei lalu sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri ke-14.

Wan Rosdy berkata, lanjutan itu membangkitkan semangat mereka untuk terus menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan 'mesra rakyat, mesra pelabur.'

Beliau seterusnya berkata Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan tahap diplomasi tertinggi kepada rakyat Malaysia, yang sebelum ini sikap mulia itu sudah lama diketahui rakyat Pahang.

"Ini termasuklah peribadi secara spontan dan menurut gerak hati seperti membantu rakyat kemalangan jalan raya atau menjengah ke gerai di tepi jalan hingga terbit rasa kecintaan dalam kalangan rakyat Malaysia... seperti pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya, sikap mulia ini telah ternampak diwarisi oleh Tuanku (Tengku Hassanal)," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!