Bersatu sertai MN keputusan luar biasa: Mukhriz

Amir Khusyairi (kanan) bersama Mukhriz ketika sesi bertemu pengundi di Medan Arked Mara, Slim River hari ini.
Amir Khusyairi (kanan) bersama Mukhriz ketika sesi bertemu pengundi di Medan Arked Mara, Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Persetujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional adalah luar biasa dan menyimpang daripada penubuhan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, ini kerana selama ini Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri memberitahu rakyat akan hasratnya menubuhkan PN malah di dalam Parlimen, ahli Parlimen yang mewakili kerajaan juga menggelarkan diri mereka daripada kerajaan PN.

"Apa yang kita tahu, PN tidak berdaftar dan terbaharu UMNO tidak sudi sertai PN, Pas kami tidak pasti.

"Hari ini, Muhyiddin mewakili Bersatu sebagai Presiden pula bersetuju menyertai Muafakat Nasional, jadi ini satu perkara agak luar biasa kerana biasanya Perdana Menteri adalah Pengerusi kepada coalition (gabungan parti)," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, dengan status Bersatu selaku 'adik bongsu' adalah hampir mustahil untuk Muhyiddin diangkat sebagai Pengerusi Muafakat Nasional bersama UMNO dan Pas.

"Tetapi saya tak tahulah adakah Muafakat Nasional akan bersetuju untuk mengangkat beliau sebagai Pengerusi walhal dalam tiga anggota itu, Bersatu dikira adik bongsu.

"Ini kali pertama ianya berlaku dan kita tidak pasti apa bentuk impak akan diberikan pada politik negara nanti," katanya.

Hari ini, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mukhriz mengadakan sesi bertemu pengundi di Medan Arked Mara, Slim River di sini yang turut dihadiri calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Mukhriz (kanan) bersama Amir Khusyairi ketika sesi bertemu pengundi di Medan Arked Mara, Slim River hari ini.
Mukhriz (kanan) bersama Amir Khusyairi ketika sesi bertemu pengundi di Medan Arked Mara, Slim River hari ini.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen pada hari pertama ini dengan penerimaan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim terhadap calon adalah memberangsangkan.

Begitupun pihaknya akan menemui seramai mungkin pengundi dalam usaha memperkenalkan calon yang mewakili parti baharu iaitu Pejuang.

"Kita berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) yang semestinya mempunyai jentera begitu besar, teratur dan sumber yang banyak tetapi sebagai parti baru sahaja nak mendaftar, inilah calon pertama kami dalam perjuangan politik baharu yang hendak kami lakarkan, mahu tak mahu kita akan cuba berjumpa seramai mungkin pengundi," katanya.