Bersatu Puchong bermasalah dari awal penubuhan parti

Mohd Danial (kiri) dan Samad (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas mengisytiharkan keluar parti bersama beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Puchong malam tadi.
Mohd Danial (kiri) dan Samad (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas mengisytiharkan keluar parti bersama beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Puchong malam tadi.
A
A
A

PUCHONG - Masalah dalaman yang wujud dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Puchong didakwa berlaku dari awal penubuhan parti hinggalah ke hari pemilihannya pada 1 Mac lalu.

Bekas Timbalan Ketua Bahagiannya, Samad Kassim mendakwa, isu melibatkan parti itu tidak pernah selesai dan pihaknya pernah ingin membawa kes berkaitan pemilihan ke mahkamah.

Namun katanya, atas nasihat pemimpin tertinggi, isu parti berkenaan tidak dibawa ke mahkamah.

“Saya nampak Presiden parti seolah-olah menghalalkan cara pemilihan asalkan beliau boleh berkuasa dan menjadi perdana menteri.

“Dah lama kami bersabar, bantahan yang kami hantar ke ibu pejabat pun dibakul sampahkan. Saya sendiri pernah nak bawa kes Pemilihan Bersatu Puchong ke mahkamah dan sudah lantik peguam namun kami dinasihati supaya tidak bawa parti ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengisytiharkan keluar parti bersama 28 lagi kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Puchong malam tadi.

Bekas Ketua Armada Bahagian Puchong, Mohd Danial Mohd Don Alfian mendakwa perjuangan Bersatu kini sudah terkeluar daripada landasan yang telah didokong oleh bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada 1 Mac lalu kita adakan Pemilihan Peringkat Bahagian Bersatu Puchong diurus tadbir oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dilantik oleh ibu pejabat. Mereka ini melakukan kerja yang sangat ‘cemerlang’ sampai keputusan Bahagian Puchong disimpan selama lima bulan.

Artikel Berkaitan:

“Ini menjadi satu rekod di mana negara jiran kita, Indonesia yang mempunyai populasi lebih 200 juta penduduk pun berjaya menjalankan proses pengundian mereka dalam masa tidak lebih 35 hari tetapi keputusan Bahagian Puchong ambil masa lima bulan untuk keluar,” katanya yang kecewa dengan perkara itu.

Mohd Danial yang turut mengumumkan keluar parti semalam mempersoalkan isu timbul sama ada perkara itu bermotifkan politik atau konflik untuk menjatuhkan seseorang ataupun mengekalkan seseorang untuk berkuasa demi kepentingan sendiri.

Katanya, pihaknya menghantar nama calon untuk bertanding jawatan masing-masing namun jawatan ketua bahagian sangat panas sehingga berlaku beberapa perkara yang dirasakan tidak patut dari segi integriti.

“Namun calon yang kami hantar disahkan untuk bertanding namun hampir kepada hari pertandingan, nama calon ketua bahagian digugurkan atas aspek kewarganegaraan sedangkan calon itu merupakan mantan naib ketua bahagian semasa zaman penaja.

“Sebenarnya keputusan berpihak kepada nama calon yang kami hantar tetapi disingkirkan dan penyingkiran calon tidak langsung dimaklumkan oleh JPP. Apa yang berlaku...tiada satu pemakluman atau hitam putih mengatakan calon kami hilang kelayakan untuk bertanding sehinggalah pada tarikh hari pemilihan,” katanya

Katanya, JPP sepatutnya telus memberi makluman berhubung perkara tersebut namun apa yang berlaku sebaliknya.

“Jadi boleh fikirkan adakah JPP telus menjalankan tugas di bahagian dan peringkat pusat untuk menjalankan pemilihan Armada, Serikandi dan Nasional yang akan berlangsung tak lama lagi.

“Lebih dikesalkan tindakan calon bertanding yang cuba menghubungi JPP dan meminta untuk menambah undi hantu. Saya ambil langkah tak besarkan benda ini hari itu sebab rasa mungkin kesilapan yang kecil tetapi saya sedar sebenarnya perjuangan Bersatu telah terkeluar daripada landasan yang telah didokong oleh Dr Mahathir,” katanya.