Penyelidik UMK temui fosil tapak kaki dinosaur di Bukit Panau

Arham Muchtar menunjukkan fosil tapak kaki dinosaur yang ditemui mereka.
Arham Muchtar menunjukkan fosil tapak kaki dinosaur yang ditemui mereka.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMASKINI] Pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui kesan tapak kaki dinosaur dipercayai daripada kumpulan spesies Sauropod berusia 145 tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Kelantan.

Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian ekplorasi geosains oleh pasukan penyelidik UMK yang diketuai Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Profesor Surono Martosuwito bersama Profesor Udi Hartono dibantu Mohd Syakir Sulaiman.

Arham Muchtar berkata, aktiviti dan penyelidikan itu bermula pada Mei 2017 lagi dan telah berjaya menemukan fosil tapak serta laluan trek dinosaur dari Sbgrup Sauropod.

“Penemuan ini membuktikan bahawa satu masa dulu dijangka antara 160 hingga 66 juta tahun lepas, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan.

“Ini adalah salah satu penemuan dari banyak penemuan lain hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang kami laksanakan di Kelantan,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, lanjutan daripada penemuan itu, pihaknya telah menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk 'The Sauropod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan' sempena dengan penganjuran Conference on Tropical Resources & Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 10 dan 11 Ogos 2020.

Beliau berkata, pasukan tersebut turut menemui tujuh tapak kaki fosil spesies Sauropod berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau seluas 60 meter (m) persegi.

"Fosil Sauropod itu dianggarkan berusia antara 65 hingga 160 juta tahun lepas iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fosil tapak kaki dinosaur yang dikatakan berusia jutaan tahun ditemui di Bukit Panau Tanah Merah oleh pasukan penyelidik UMK
Fosil tapak kaki dinosaur yang dikatakan berusia jutaan tahun ditemui di Bukit Panau Tanah Merah oleh pasukan penyelidik UMK

Katanya, pasukan sama juga telah mengenal pasti bahawa tujuh tapak kaki fosil Dinosaur Sauropod itu adalah sejenis reptilia berkaki empat daripada spesies herbivor iaitu hidupan yang memakan tumbuh-tumbuhan.

“Berdasarkan bukti tapak kaki, haiwan ini dipercayai memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan.

“Spesies Dinosaur Sauropod dikenali juga sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi ini.

“Kejayaan ini amat bermakna bagi UMK terutamanya dengan penubuhan Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi yang menjalankan penyelidikan ke atas hidupan dinosaur ini," katanya.

Arham Muchtar berkata, penyelidik telah menghabiskan masa lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak dinosaur di Kelantan.

Beliau berkata, berdasarkan penemuan itu pihaknya mengenal pasti fosil Sauropod ini berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijumpai kemudian mendapat pengesahan pakar dinosaur dunia berasal dari Jepun.

Menurutnya, mengikut kepada keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau pihaknya mendapati bahawa Saurapod itu hidup pada persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku.

“Sehingga kini kami belum dapat menentukan spesies Sauropod ini sebab data yang diperlukan masih belum mencukupi.

“Aktiviti penyelidikan dan pencarian dinosaur di kawasan ini bukan perkara baru kerana sekurang-kurangnya sejak tahun 2016, pihak kami telah melaksanakan beberapa kajian sama ada oleh ahli geologi daripada dalam mahupun luar negara,” katanya.

Katanya, kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka oleh banyak ahli geologi berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan dengan beberapa kawasan di Thailand Selatan mengandungi fosil dinosaur.

“Kami mengharapkan dalam masa terdekat semua pihak dapat memberi kerjasama yang positif bagi meneruskan kajian ini. Kami percaya masih ada beberapa lagi jenis fosil dinosaur yang masih tersimpan dalam batuan di Bukit Panau,” katanya.

Berbekalkan ilmu dan kesungguhan pasukan penyelidik UMK menjejaki fosil dinosaur di Kelantan.
Berbekalkan ilmu dan kesungguhan pasukan penyelidik UMK menjejaki fosil dinosaur di Kelantan.