Tangani segera kes pencerobohan nelayan asing

Muhammad Faiz (duduk, dua kiri) bersama sebahagian ahli PNK.
Muhammad Faiz (duduk, dua kiri) bersama sebahagian ahli PNK.
A
A
A

KUANTAN - Kehilangan berbilion ringgit nilai tangkapan ikan di negara ini menunjukkan pencerobohan perairan negara berada di tahap serius yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Malaysia berdepan isu dan masalah kekurangan stok hasil laut dan jika isu pencerobohan ini tidak segera ditangani secara keseluruhannya.

Menurutnya, antara isu utama yang perlu ditangani adalah ketirisan sumber perikanan membabitkan pencerobohan kapal negara jiran, untuk mengambil sumber perikanan negara.

"Semua pihak perlu main peranan. Laporan kehilangan RM6 bilion nilai tangkapan hilang akibat pencerobohan di perairan ini menunjukkan pencerobohan perairan ini satu yang kronik dan serius.

"Ini melibatkan kedaulatan negara. Bagaimana kita boleh membiarkan nelayan asing ceroboh perairan kita. Pihak LKIM di setiap negeri perlu memastikan tidak ada lagi sebarang pencerobohan nelayan asing. Kita tidak mahu hanya meminimumkan pencerobohan, tapi mahu menghapuskan terus sebarang bentuk pencerobohan oleh nelayan asing,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan barang dapur kepada 1,151 ahli Persatuan Nelayan Kuantan (PNK) Kuantan pada Program Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kompleks LKIM Kuantan di sini hari ini.

Tahun lalu, media melaporkan hampir satu juta tan atau kira-kira 50 peratus ikan yang ditangkap di perairan negara ini bernilai RM3 hingga RM6 bilion ghaib setiap tahun dipercayai dilarikan ke negara jiran, menunjukkan betapa serius pencerobohan nelayan asing berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi dipetik berkata, hanya 50 peratus sahaja ikan yang ditangkap di perairan Malaysia didaratkan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Muhammad Faiz menyeru golongan muda untuk menjadi pelapis kepada nelayan sedia ada di negara ini.

Menurutnya, kekurangan golongan muda menceburi industri menangkap ikan menyebabkan nelayan menggajikan awak-awak warga asing.

“Kehadiran awak-awak asing ini menjadi kebimbangan kita kerana jika masalah ini terus berterusan, tidak mustahil industri ini akan dibanjiri oleh mereka suatu hari nanti.

“Kita mahu anak muda lebih ramai mewarisi pekerjaan ini dan menjadi nelayan moden. Saya paling risau jika negara ini satu hari nanti dikuasai warga asing. Bukan sahaja konteks nelayan tapi juga perindustrian dan perniagaan. Semakin lama semakin dikuasai warga asing. Jika anak muda tidak mahu sahut cabaran jadi nelayan nanti industri ini pun dikuasai warga asing,” katanya.