Jadikan nilai perpaduan aset utama negara - Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni orang ramai berpakaian tradisional pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni orang ramai berpakaian tradisional pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Semua rakyat Malaysia seharusnya menjadikan nilai perpaduan sebagai aset negara yang utama sekali demi masa depan, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, rakyat juga harus mengurangkan perbezaan antara mereka dengan merapatkan jurang antara kaum dan agama.

"Seperti pepatah Inggeris, 'charity begins at home', berpatutanlah saya menyatakan di sini iaitu 'unity begins at home' ataupun perpaduan bermula dari rumah,” titah baginda semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melancarkan lagu tema perpaduan yang menggabungkan pelbagai dialek di Malaysia bertajuk, Setia Perpaduan.

Minggu Perpaduan 2023 yang berlangsung dari 20 sehingga 28 Mei ini turut dijalankan di 15 lokasi di seluruh negara antaranya di Bertam Square, Pulau Pinang; Dewan Masyarakat Papar, Sabah; Dataran Tasik Kluang, Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan, Pahang.

Bertemakan "Perpaduan Dalam Kepelbagaian”, objektif utama penganjuran Minggu Perpaduan adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat serta budaya dalam masyarakat Malaysia. - Bernama