Penganggur mengaku tidak bersalah tendang polis

Saiful Azira ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederkan seorang anggota polis 9 Ogos lalu.
Saiful Azira ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederkan seorang anggota polis 9 Ogos lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini terhadap pertuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan cara menendang tulang rusuknya, minggu lalu.

Saiful Azira Anuar, 28, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Koperal Mohamad Hafiz Abu Bakar dengan cara menendang tulang rusuk ketika mangsa sedang menjalankan tugas sebagai anggota pengawal lokap Balai Polis Melaka Tengah, kira-kira jam 8.30 malam, 9 Ogos lalu.

Dia juga didakwa atas tuduhan melakukan khianat dengan mencabut dan mematahkan papan lantai sel lokap balai polis sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM25.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan kerana telah diberhentikan kerja berikutan terkesan penularan pandemik Covid-19 selain perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Majistret, Teoh Shu Yee membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 19 Oktober depan.

Artikel Berkaitan: