Ahmad Maslan gagal kali kedua batal pertuduhan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan jenayah.

Dua pertuduhan tersebut adalah gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan Ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

“Oleh itu mahkamah menetapkan untuk tidak menggunakan kuasa bagi semakan terhadap keputusan mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen),” katanya.

Terdahulu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 54, selaku pemohon berkata, alasan Mahkamah Sesyen bahawa permohonan anak guamnya adalah pramatang, adalah tidak tepat.

“Ini kerana permohonan boleh dimasukkan pada sebarang peringkat memandangkan kes telah dikemukakan. Sesiapa sahaja boleh membuat permohonan tersebut jika ia tidak berasas.

“Tujuan permohonan (semakan) kami adalah bagi mendapatkan kebenaran Yang Arif untuk memastikan sekiranya Mahkamah Sesyen telah melakukan kekhilafan. Dalam kes ini, tiada sebarang notis atau arahan dikeluarkan terhadap anak guam saya yang menyatakan kelewatan beliau dalam membuat pembayaran dan sebagainya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berkata, pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kami melihat permohonan untuk membuat semakan ini adalah tidak berasas kerana ia adalah penyalahgunaan proses kuasa,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Ahmad untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi Setiausaha Agung UMNO itu selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang.

Mahkamah itu juga menetapkan tarikh perbicaraan kes pada 1 dan 2 Oktober, 16 Oktober, 23 Oktober, 6 November dan 24 Disember depan selain menetapkan 4 September ini untuk sebutan kes.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama