X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah kematian letupan Beirut meningkat kepada 177

Kawasan sekitar pelabuhan di Beirut yang musnah teruk dan kawah yang terhasil daripada letupan dahsyat tersebut. - Foto AFP
A
A

BEIRUT - Angka kematian akibat letupan besar di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor Agensi Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis.

Mengambil kira 30 individu masih hilang selepas letupan maut di ibu kota itu, Hamad memberitahu siaran televisyen tempatan jumlah kematian berkemungkinan boleh mencapai 200 orang.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan berkata, diplomat asing telah dimaklumkan mengenai mekanisme pengagihan bantuan berikutan kejadian berkenaan.

Maklumat mengenai bagaimana bantuan yang diterima oleh Lubnan akan sampai kepada mangsa letupan juga telah dikongsi dengan para diplomat, tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, keperluan pusat kesihatan dan hospital di negara itu akan ditentukan sebelum pengagihan bantuan perubatan dilakukan.

Bantuan perubatan akan diedarkan selaras dengan koordinasi antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan negara itu manakala bantuan makanan akan diedarkan dengan kerjasama tentera dan organisasi bukan kerajaan, katanya.

Tentera Lubnan berkongsi mekanisme penyaluran bantuan yang diterima oleh negara itu secara telus dengan diplomat asing berikutan tuduhan rasuah terhadap pemerintah negara itu oleh aktivis media sosial dan rusuhan yang menganjurkan tunjuk perasaan di Beirut.

Letupan kuat menggegarkan Beirut pada 4 Ogos setelah timbunan 2,750 tan metrik ammonium nitrat yang diabaikan di gudang terbakar.

Gelombang letupan meruntuhkan bangunan berhampiran dan menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas di ibu negara, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Rusuhan ganas berterusan walaupun Perdana Menteri, Hassan Diab dan barisan menterinya telah mengundurkan diri sebagai kerajaan.

Presiden Lubnan, Michel Aoun pada Rabu menyatakan kerosakan harta benda daripada letupan itu boleh menelan belanja lebih dari AS$15 bilion, menurut pertubuhan berita rasmi Lubnan. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!