Kerajaan perkenal kaedah baharu pemberian skim baja padi

Mazlan (enam kiri) bergambar bersama pesawah Sungai Manik yang menerima baja padi di bawah SBPKP, di sini, hari ini.
Mazlan (enam kiri) bergambar bersama pesawah Sungai Manik yang menerima baja padi di bawah SBPKP, di sini, hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memperkenalkan mekanisme baharu pemberian Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dalam masa terdekat.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman berkata, pendekatan berkenaan penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai masalah kepada pesawah mengenai pemberian subsidi baja tersebut.

"LPP bersama MOA telah mengadakan perbincangan lanjut bagi mengenal pasti inisiatif terbaik yang boleh digunakan dalam pemberian subsidi baja padi ini.

"Mekanisme baharu tersebut akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena lawatan ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik/Labu Kubung Cawangan Chikus, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada mekanisme baharu itu dibuat ekoran terdapat penyelewengan pemberian SBPKP seperti dilaporkan sebelum ini, Mazlan enggan memberi sebarang ulasan.

"Untuk makluman memang polisi itu berlaku dan apa juga ia akan diumumkan oleh menteri kerana saya hanya laksana keputusan yang dibuat kementerian," katanya.

Mengulas mengenai pemberian SBPKP di semua jelapang padi dalam negara, Mazlan berkata pemberian subsidi baja padi itu akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas pemberian pertama kepada pesawah di Jelapang Padi Sungai Manik, Perak bermula hari ini.

"Suka saya nyatakan bahawa pada hari ini Sungai Manik merupakan kawasan pertama yang kita serah melibatkan 16 kampit baja setiap hektar sawah dengan pecahan 12 kampit baja sebatian dan empat kampit baja Urea.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ini apa yang menjadi kerisauan kepada pesawah telah dapat ditanggani dan untuk kawasan jelapang lain termasuk di pantai timur akan menyusul selepas daripada ini," katanya.

Menurut Mazlan lagi, pemberian subsidi baja padi itu merupakan penghataran segera yang diputuskan MOA bagi menanggani tanaman padi yang telah bermula di Sungai Manik, Teluk Intan, sebulan lalu.

"Sebanyak RM90 juta diperuntukkan bagi SBPKP seluruh Malaysia bersasarkan memenuhi keperluan dalam tempoh tiga bulan di semua jelapang," katanya.