Harimau Malaya lega aksi kelayakan ditangguh

Penundaan kempen kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 akan memberi lebih ruang kepada pemain Harimau Malaya melakukan persiapan lebih rapi.
Penundaan kempen kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 akan memberi lebih ruang kepada pemain Harimau Malaya melakukan persiapan lebih rapi.
A
A
A

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui lega dan menyambut baik pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menangguhkan baki aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ke tahun depan.

Cheng Hoe berkata, penangguhan itu nyata satu berita baik kepada skuad kebangsaan terutamanya dari segi persiapan pasukan bagi mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

“Saya rasa penangguhan ini petanda baik untuk skuad kebangsaan. Ini kerana kalau dilihat kita tak ada perlawanan-perlawanan yang kompetitif sejak beberapa bulan ini.

“Tiba-tiba pada Ogos dan awal September tiba-tiba ada jadual padat dalam Liga Malaysia (Liga-M), kemungkinan pemain-pemain tidak bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Jadi bagi saya secara peribadi, penangguhan kempen kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ini sebagai satu berita yang baik," katanya kepada Sinar Harian semalam.

FIFA dan AFC sekali lagi menangguhkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke tahun depan selepas mengambil kira perkembangan semasa membabitkan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Pada masa sama FIFA dan AFC akan terus bekerjasama bagi memantau perkembangan semasa Covid-19 bagi menyusun tarikh-tarikh baharu bagi aksi kempen kelayakan berkenaan yang akan diumumkan kemudian.

Pada masa sama Cheng Hoe juga menyambut positif sekiranya pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bercadang menyusun semula jadual saingan liga yang dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos ini susulan pengumuman dua badan induk bola sepak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, perkara itu terpulang kepada MFL untuk menyusun jadual tersebut kerana kemungkinan besar, pasukan kebangsaan tidak boleh adakan perlawanan persahabatan. Jadi saya menyokong apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh MFL,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyifatkan penangguhan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ke tahun depan wajar dimanfaatkan dalam memastikan saingan liga lebih kompetitif.

Bagaimanapun menurut Stuart, segala keputusan berhubung perjalanan Liga-M tertakluk kepada keputusan MFL selaku badan pentadbir liga tempatan.

“Kita akan bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi memastikan persiapan pasukan berjalan lancar.

“Selain itu, kita juga memerlukan masa untuk meneliti semua aspek sebelum membuat sebarang komen rasmi berhubung perkara berkenaan,” katanya.