SK Sungai Lang julang Piala Sumbangsih

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Sungai Lang melaungkan amaran awal sebagai antara pencabar kejuaraan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor edisi 2026 selepas menjuarai aksi pembuka tirai, Piala Sumbangsih.
Skuad kendalian Azman Muhammad Kusnan itu memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan SK Serdang 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Padang SK Putra Heights 2, Subang Jaya pada Jumaat.
Gol tunggal kemenangan SK Sungai Lang dijaringkan Qhasyaf Aduka Faizul Izham pada minit ke-30 untuk memastikan pasukannya muncul juara dan turut membawa pulang tiga mata berharga.
Azman menyifatkan disiplin pemain dalam menterjemahkan taktikal yang diterapkan menjadi antara faktor utama kejayaan menundukkan SK Serdang selain keupayaan mereka bertahan dengan baik sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah, kami datang dari daerah yang sangat kecil dan sudah bertahun-tahun berusaha serta berlatih. Selepas lima tahun, akhirnya kami berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan.
“Saya bangga dengan anak-anak murid kerana mereka bermain dengan baik dan mengikut taktikal yang diberikan. Mengajar pemain pada usia muda memahami aspek taktikal bukan perkara mudah, tetapi mereka mampu melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Mengulas peluang pasukannya dalam aksi seterusnya, Azman berkata, SK Sungai Lang akan memberi tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan bagi memastikan tiket ke pusingan seterusnya menjadi milik mereka.
Katanya, kemenangan ke atas SK Serdang menjadi suntikan motivasi buat pasukan sebelum berdepan SK Sungai Binjai dan SK Dusun Tua dalam misi mengutip mata maksimum.
“Kami sudah memperoleh tiga mata dan selepas ini perlu terus memburu kemenangan untuk layak ke peringkat seterusnya. Kami akan cuba pergi sejauh mungkin, tetapi perlu melakukannya langkah demi langkah,” katanya.
Saingan Piala DYTM Raja Muda Selangor 2026 mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
