Pemain sudah beraksi baik namun hilang fokus - Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN kecewa Selangor FC gagal membawa pulang mata apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, pengendali skuad Red Giant, Tan Cheng Hoe menyifatkan kesebelasan pemain telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.

Menurut Cheng Hoe, sepanjang 80 minit perlawanan, kesebelasan pemain telah beraksi baik hingga berjaya mengekang asakan-asakan tuan rumah, namun akibat hilang konsentrasi pada 10 minit terakhir menyaksikan pintu gol skuad Merah Kuning itu dibolosi.

"Kalau ikut pelan, memanglah ia untuk mencuri mata di Stadium Sultan Ibrahim, namun ia ternyata tidak berhasil kerana walaupun kita sudah menunjukkan disiplin yang tinggi pada separuh masa pertama, tetapi kelekaan ketika perlawanan menuju 80 minit menyebabkan kita dibolosi.

“Kita tahu, rangkaian serangan JDT cukup kuat dan banyak gol dijaringkan mereka di sini (Stadium Sultan Ibrahim) dan kita cuba bermain lebih defensif namun gagal untuk mengawal situasi tersebut kerana apabila berdepan lawan seperti JDT, kita tidak boleh hilang fokus.

"Saya rasa banyak pasukan yang menentang JDT menggunakan pelbagai cara dan taktikal namun masih gagal sekat JDT dan jaringan gol yang dihasilkan itu membuktikan pasukan ini berada di tahap yang berbeza," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor berada pada kedudukan kedua Liga Super dengan 40 mata setelah mengharungi 19 perlawanan berbanding JDT yang mengumpul 54 mata hasil 18 kemenangan berturut-turut setakat ini.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, kecederaan penyerang import, Richmond Boakye-Yiadom telah menjejaskan percaturannya hingga terpaksa mengubah taktikal dengan bermain secara bertahan.

Bagaimanapun katanya, kekalahan itu diharap tidak menjejaskan semangat juang pemain untuk bangkit pada baki tujuh perlawanan Liga Super selepas ini dalam usaha merebut slot automatik ke Piala AFC, musim depan.

“Penting untuk kita persiapkan pasukan bagi mengharungi baki perlawanan akan datang dan fokus utama kami adalah untuk mencapai matlamat kekal di tempat kedua dalam carta Liga Super.

“Ketika ini kita juga hilang khidmat Faisal Halim yang digantung empat bulan tapi kita kena bijak mencari alternatif lain dan malam ini (Sabtu), kita lihat Mukhairi Ajmal (Mahadi), telah bermain dengan baik walaupun pertama kali bermain di posisi yang ditinggalkan Faisal," katanya.