Tangani depresi sebelum terlambat

No Image Caption
A
A
A

Manusia memang tidak dapat lari daripada mengalami tekanan perasaan dalam kehidupan. Namun cara yang betul perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada mengalami kemurungan yang melampau atau dipanggil depresi.

Kemurungan atau depresi bermaksud penyakit mental yang menyebabkan perasaan seseorang individu menjadi semakin menurun. Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya. Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ia boleh mendorong kepada tindakan membunuh diri.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih daripada 264 juta individu terdiri daripada pelbagai usia di seluruh dunia mengalami gangguan perasaan akibat depresi. Malah data WHO juga melaporkan hampir 800,000 orang mati akibat membunuh diri setiap tahun dan ia menjadi punca utama kematian dalam kalangan mereka yang berusia di antara 15 sehingga 29 tahun.

Banyak kes bunuh diri sering dilaporkan sejak akhir-akhir ini. Terbaru pada 5 Ogos lalu di mana seorang bekas juruterbang berusia 35 tahun bertindak terjun dari sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Serdang pada 5 Ogos lalu akibat tekanan yang dialami selepas diberhentikan kerja dua bulan lalu.

Keadaan mendesak dengan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga ramai yang hilang pekerjaan sememangnya boleh mendorong seseorang itu mengambil tindakan di luar kawalan mereka.

Namun depresi juga boleh terjadi dalam kalangan individu yang berjaya dan hidup dalam kemasyuran seperti golongan artis.

Bintang K-Pop popular iaitu bekas kumpulan f(x), Sulli ditemui mati di rumahnya di Seoul pada Oktober 2019 lalu dipercayai akibat membunuh diri. Sulli, atau nama sebenarnya Choi Jin-ri, terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak asasi wanita dan kerap diganggu serta dibuli dalam talian. Korea Selatan mempunyai antara kadar bunuh diri tertinggi dunia, malah data kerajaan menunjukkan ia antara sebab kematian utama bagi golongan bawah 40 tahun.

Vokalis Linkin Park, Chester Bennington juga mati dipercayai akibat bunuh diri pada Julai 2017. Sebelum kematiannya, beliau secara terbuka mengakui mengenai zaman kanak-kanaknya yang penuh bermasalah di Arizona.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau didera secara seksual selama bertahun lamanya oleh seorang kenalan keluarga dan bertukar menjadi seorang penagih dadah dan alkohol selepas ibu bapanya bercerai ketika berusia 11 tahun. Bennington juga pernah melahirkan rasa sedih yang begitu mendalam atas kematian rakan karibnya, vokalis kumpulan Soundgarden, Chris Cornell.

Melihatkan kepada contoh-contoh di atas, ternyata depresi bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Oleh sebab itu, penting ahli keluarga atau rakan rapat memberikan sokongan kepada individu yang mengalami tekanan perasaan.

Bagaimana mengenal pasti seseorang mengalami kemurungan? Berdasarkan portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ciri-ciri kemurungan termasuklah sentiasa sedih dan menangis, mudah tersinggung, tidak bermaya, tidak berupaya untuk menikmati aktiviti-aktiviti kegemaran, rasa bersalah yang tidak menentu, sakit badan, suka bersedirian dan menjauhkan diri daripada sahabat dan keluarga serta cubaan untuk mencederakan diri sendiri.

Rawat

Kemurungan sebenarnya boleh dirawat namun ramai yang masih lagi keberatan untuk bercakap mengenai kesihatan mental, apatah lagi mendapatkan rawatan atau berjumpa pakar psikiatri.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, stigma yang mendalam terhadap perawatan psikiatri masih lagi belum dapat dihapuskan sepenuhnya dalam masyarakat kita.

“Kejadian bunuh diri adalah suatu perkara yang boleh dicegah. Mereka yang berisiko boleh dikenalpasti serta diberikan intervensi awal,” katanya.

Setiap individu boleh memainkan peranan dalam membantu. Elakkan melabel mereka yang mengalami masalah sebagai lemah atau kurang iman sebaliknya perlu sentiasa memberikan sokongan kepada yang memerlukan.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Editor Halaman Sinar Harian