X

Kindly register in order to view this article
!

Berani Semuka pertemukan Mujahid, Abdul Azeez

Mujahid dan Abdul Azeez
A
A

SHAH ALAM - Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian bakal merungkai polemik berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) apabila dua bekas tokoh penting yang pernah menerajui dan memantau institusi kewangan Islam itu bertemu Jumaat ini.

Program julung kali diadakan itu menampilkan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Ia akan dikendalikan oleh moderator, Tan Sri Johan Jaaffar iaitu Tokoh Wartawan Negara.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, sebagai sebuah media yang bebas daripada sebarang pengaruh politik, Sinar Harian amat berbesar hati apabila kedua-dua tokoh itu bersetuju untuk menjadikan platform Berani Semuka sebagai medan ilmu dan pencerahan untuk rakyat Malaysia.

“Program ini akan menggunakan format diskusi ala pemilihan presiden Amerika Syarikat. Bagaimanapun, kami membuat sedikit pengubahsuaian agar sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

“Ini adalah pendekatan terbaharu Sinar Harian bagi memberi peluang kepada ahli politik, tokoh korporat termasuk menteri-menteri untuk menjelaskan isu berbangkit kepada rakyat dalam suasana harmoni dan ilmiah,” katanya.

Berani Semuka akan berlangsung selama satu jam di semua platform digital Sinar Harian iaitu portal www.sinarharian.com.my, Facebook Sinar Harian, YouTube Sinar Harian dan [email protected] pada jam 8.30 malam, Jumaat 14 Ogos ini.

Berani Semuka akan dikendalikan moderator, Johan Jaaffar.
Berani Semuka akan dikendalikan moderator, Johan Jaaffar.

Baharom berkata, program tersebut tidak dibuka kepada orang ramai sebaliknya hanya tetamu jemputan daripada kedua-dua belah pihak akan menghadirinya di Kompleks Karangkraf di sini.

“Ia tidak dapat dielakkan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

“Hanya 30 orang penyokong dibenarkan untuk memasuki Studio F, Kumpulan Karangkraf iaitu 15 penyokong Mujahid dan 15 lagi daripada Abdul Azeez.

“Kita perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia termasuklah penjarakkan fizikal,” katanya.

Sementara itu, Mujahid ketika dihubungi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang bersedia menyediakan platform untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

“Semoga majlis ini berjalan lancar,” katanya.

Bagi Abdul Azeez pula, usaha tersebut merupakan jalan terbaik untuk menjelaskan polemik yang menyentuh agensi pengurusan dana umat Islam itu.

“Saya akan bersemuka dengan Mujahid bagi menjelaskan apa yang didakwa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!