Ambrin Buang tidak puas hati Arul teliti laporan syarikat

Ambrin (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB, selaku saksi keenam pendakwaan.
Ambrin (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB, selaku saksi keenam pendakwaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengakui tidak puas hati apabila bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa membenarkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy meneliti laporan audit syarikat berkenaan.

Saksi keenam pendakwaan bagi kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, Arul juga dibenarkan untuk menyemak setiap ayat dalam laporan berkenaan dan membuang mana-mana maklumat yang dibuat.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Ambrin berkata, tindakan itu umpama mencalar kredibiliti pengaudit kerana pihak yang diaudit boleh mengubah laporan disediakan.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ambrin berkata, situasi itu bukan amalan biasa bagi juruaudit.

Muhammad Shafee: Adakah Tan Sri maklum kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau membuat aduan pada mereka?

Ambrin: Tidak. PAC sepatutnya menghubungi saya, tetapi ia tidak berlaku sebab kes itu dibawa ke mahkamah.

Muhammad Shafee: Merujuk kepada kenyataan saksi, Tan Sri menafikan berlaku pindaan pada laporan 1MDB yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Tan Sri juga mengaku mempunyai kuasa penuh terhadap laporan itu. Soalan saya, adakah itu benar?

Artikel Berkaitan:

Ambrin: Ya

Muhammad Shafee: Tan Sri juga beritahu di hadapan PAC, laporan 1MDB tidak diubah (tempering), yang mana pendapat Tan Sri, tempering bermaksud perubahan tanpa kebenaran.

Ambrin: Ya, tiada tempering.

Muhammad Shafee: Tan Sri juga beritahu, apa-apa perubahan mesti dibuat dengan persetujuan Tan Sri selaku Ketua Audit, tiada siapa boleh pinda laporan itu. Jika ada sekalipun, ia dilakukan selepas perbincangan dan mesti ada justifikasi. Adakah Tan Sri berkata demikian?

Ambrin: Ya

Muhammad Shafee: Adakah pindaan dalam draf laporan akhir final sudah disahkan (authorised)?

Ambrin: Ya

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Ia dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Dalam kes ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

Sementara peguam, Muhammad Shafee mewakili Najib dan N Sivananthan bagi pihak Arul Kanda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung Rabu ini.