Dakwa berlaku ketirisan, Norhizam letak jawatan Pengerusi Pengakap Melaka

Norhizam (kanan) pada sidang akhbar di Ayer Keroh hari ini menunjukkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Pengakap Melaka.
Norhizam (kanan) pada sidang akhbar di Ayer Keroh hari ini menunjukkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Pengakap Melaka.
A
A
A

MELAKA - Exco Pertanian Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee meletak jawatan sebagai Pengerusi Pengakap Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu berkata, keputusan dibuat kerana mendapati terdapat ketirisan dalam pengurusan pasukan beruniform negeri itu.

"Perkara itu telah pun dilaporkan kepada Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, namun tiada sebarang tindakan sejak saya mengambil tampuk kepimpinan persatuan itu pada April tahun lalu," katanya.

Menurutnya, dakwaan campur tangan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia turut menyebabkan tiga jawatankuasa tertinggi Majlis Pengakap Melaka iaitu Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Timbalan Pengerusi), Azlan Mokhtar (Setiausaha Kehormat) dan Norman Burhan (Bendahari Kehormat) membuat keputusan sama meletak jawatan.

Malah, katanya, banyak lagi punca yang menyebabkan mereka mengambil keputusan itu termasuk kemasukan wang ke dalam akaun Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan bukannya akaun Majlis Pengakap Melaka.

"Mereka sering membuat keputusan berhubung kewangan dengan membelakangi Majlis Pengakap Melaka serta didakwa tidak berintegriti sehinggakan gagal menerapkan prinsip undang-undang pengakap dalam pentadbiran.

"Perkara ini menyebabkan saya tidak bersetuju dengan tindakan dan keputusan daripada pusat yang lemah," katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Norhizam berkata, kesan campur tangan itu telah menyebabkan bebanan hutang yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, situasi itu memperlihatkan prestasi kewangan terjejas teruk sehingga persatuan disaman oleh pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja baik pulih kem Pengakap Melaka di Pengkalan Badak yang melibatkan kos RM729,000.

"Apa yang berlaku telah menghakis keyakinan ahli-ahli pengakap termasuk penyumbang dan menyebabkan rasa tidak hormat terhadap pihak kami.

"Dengan itu kami mengambil keputusan letak jawatan serta merta bermula hari ini," katanya.