X

Kindly register in order to view this article
!

Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup pagi esok

Suasana pekan Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan PKPD Pentadbiran di daerah Sanglang bermula malam tadi. - Foto Bernama
A
A

KUALA PERLIS - Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya bermula jam 8 pagi esok.

Selain itu, pihak polis juga akan memperketatkan kawalan di tiga laluan tikus iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang dengan kedua-dua kampung kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semalam semua penduduk di Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan dan penduduk Kampung Kuala Sanglang pula hari ini dan apabila proses saringan selesai hari ini semua jalan akan mula ditutup esok.

"Penduduk di kedua-dua kampung tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh PKPD Pentadbiran tamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Surina dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan PKPD Pentadbiran di daerah Sanglang. - Foto Bernama
Surina dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan PKPD Pentadbiran di daerah Sanglang. - Foto Bernama

Beliau berkata, hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan PKPD Pentadbiran sahaja.

Sementara itu, Surina berkata, pihak polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan PKPD Pentadbiran sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!