Bersatu Johor sokong kepimpinan Muhyiddin

Mazlan Bujang
Mazlan Bujang
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor masih menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti baharu, kelmarin.

Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata, sebanyak 26 bahagian Bersatu di Johor juga terus menyokong kepimpinan Muhyiddin meskipun Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyokong parti baharu tersebut.

"Kita (Bersatu Johor) hormati parti baharu yang ditubuhkan Dr Mahathir. Di dalam negara ini tiada undang-undang yang dapat menghalang demokrasi bagi menubuhkan parti politik baharu.

"Beliau merupakan seorang negarawan yang telah berkhidmat selama 22 tahun dalam kerajaan sebagai Perdana Menteri, sudah tentu Dr Mahathir ada penyokong dan pengikutnya.

"Mungkin di Johor tidak sampai lima peratus yang menyokong Dr Mahathir," katanya ketika ditemui di Iskandar Puteri di sini hari ini.

Mengenai tarikan parti baharu kepada ahli Bersatu di Johor menurutnya, beliau tidak nampak arah tujuan parti baharu tersebut sekaligus menimbulkan tanda tanya.

"Mengenai saingan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) saya tidak nampak parti baharu ini ada arah yang jelas. Jika bersendirian mungkin tidak kuat.

"Tetapi jika parti baharu ini bersama blok pembangkang mungkin ada jadi Pakatan Harapan Plus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim berkata, pihaknya menghormati tindakan Dr Mahathir menubuhkan parti baharu.

"Mungkin Dr Mahathir ada agenda lain tetapi saya percaya ramai ahli-ahli Bersatu Johor masih setia dengan kepimpinan Muhyiddin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini

Terdahulu tular di media sosial mengenai laporan beberapa portal yang mendakwa Bersatu Johor akan berpecah berikutan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir.

Sinar Harian kelmarin melaporkan Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah lagi parti Melayu baharu menyaksikan beliau dilantik sebagai Pengerusi parti itu manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz pula sebagai Presiden.

Bagaimanapun parti baharu tersebut masih belum ditentukan nama.