Pesawat terhempas, putus dua ketika cuba mendarat kali ketiga

Keadaan bangkai pesawat tersebut selepas ia terputus dua sejurus terjunam ke dalam cenuram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kozhikode di Kerala semalam. - Foto: AFP
Keadaan bangkai pesawat tersebut selepas ia terputus dua sejurus terjunam ke dalam cenuram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kozhikode di Kerala semalam. - Foto: AFP
A
A
A

KOZHIKODE - Sekurang-kurangnya 19 maut apabila sebuah pesawat membawa 190 penumpang terhempas dan terputus dua dalam kejadian di selatan India, menurut pihak berkuasa hari ini.

Pesawat IX 1344 Air India Express yang digunakan untuk membawa pulang warga India terkandas di Dubai akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dipercayai tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kozhikode di Kerala ketika hujan lebat lewat malam tadi.

Menteri Penerbangan, Hardeep Singh Puri berkata, mangsa yang terkorban termasuk juruterbang dan pembantunya manakala lebih 150 penumpang lain cedera.

Kebanyakan mangsa penumpang adalah pekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan seramai 15 daripadanya telah kehilangan kerja akibat wabak tersebut.

"Ia adalah sesuatu yang ajaib kerana pesawat itu tidak terbakar walaupun tangki minyak bocor. Jika tidak, jumlah kematian pasti lebih tinggi," kata seorang pegawai kecemasan.

Pasukan penyiasat didakwa telah menemui kotak hitam pesawat terbabit.

Sementara itu, media tempatan memetik kenyataan pegawai kawalan lalu lintas udara dan laman pengesan penerbangan mendapati pesawat Boeing 737 itu berpusing sebanyak dua kali dan mula mendarat sebelum ia terhempas pada cubaan ketiga.

Pesawat itu juga dikatakan melantun beberapa kali berikutan angin kencang sebelum ia cuba mendarat dan tergelincir hingga hujung landasan serta terjunam ke dalam cenuram dan terputus dua.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, pemandu teksi dan peniaga di kawasan sekitar menyertai pasukan penyelamat untuk menyelamatkan mangsa penumpang selepas menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp.

"Kami mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkan kesemua mayat dan penumpang cedera," kata jurucakap pasukan bomba.

Difahamkan, beberapa teksi juga digunakan untuk membawa sebahagian mangsa ke hospital sebelum diambil alih oleh perkhidmatan kecemasan.

Perdana Menteri, Narendra Modi turut menzahirkan ucapan takziah menerusi Twitter.

"Doa dan ingatan saya bersama mereka yang kehilangan insan tersayang," ujarnya di laman blog mikro tersebut. - AFP

Info

>Pada Mei 2010, Boeing 737-800 Air Inda Express dari Dubai ke Mangalore juga tergelincir daripada landasan dan terjunam ke lembah lalu terbakar sekali gus meragut 158 nyawa dan hanya lapan penumpang terselamat.

>Selepas kejadian nahas di Mangalore, Jawatankuasa Penasihat Keselamatan telah menyarankan pemasangan sistem menyahpecutan untuk menghalang pesawat daripada tergelincir di landasan pendek di Mangalore dan Kozhikode. Namun, pihak berkuasa tidak menghiraukan cadangan itu dengan memberi alasan tentang kos yang tinggi selain enggan menutup lapangan terbang terbabit bagi tujuan pemasangan sistem tersebut.

>India mempunyai empat lapangan terbang table top (terletak di puncak dataran tinggi atau bukit dan penghujungnya berhampiran tebing curam) di Mizoram, Sikkim dan Himachal Pradesh. Paro di Bhutan dan Kathmandu di Nepal juga dibina serupa.

>Kozhikode dianggap sebagai sebuah lapangan terbang yang kompleks kerana terletak di atas bukit dan mempunyai landasan sepanjang 2,860 meter yang penghujungnya adalah cenuram.

>Ketika in, Kerala sedang mengalami banjir monsun. Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan di negeri itu.